PETALING JAYA: Pembangkang menuntut penjelasan mengenai tindakan kerajaan yang didakwa memerah Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sehingga ‘memaksa’ syarikat minyak negara itu melepaskan 10 peratus pekerjanya.
Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengumuman bahawa lebih 5,000 pekerja akan diberhentikan dalam proses yang dinamakan dalam penstrukturan semula itu mengejutkan.
Kata beliau, penstrukturan semula itu berlaku susulan penyusutan keuntungan berturut-turut yang dihadapi Petronas iaitu jatuh 32 peratus bagi 2024 dan sebelum itu, jatuh 21 peratus pada 2023.
Dalam keadaan tersebut, dakwanya, kerajaan tetap memerah Petronas membayar dividen RM32 bilion kepada kerajaan pada tahun ini iaitu sama seperti 2024 walaupun keuntungan syarikat minyak negara itu jatuh besar.
“Walhal, jika kerajaan tidak memerah Petronas dan mengambil langkah mengurangkan kadar bayaran dividen mengikut prestasi keuntungan semasa Petronas, penstrukturan semula yang memangsakan rakyat ini boleh dielakkan.
“Kerajaan perlu memberikan penjelasan rasional mengapa dividen Petronas kekal diperah tanpa mengambil kira kejatuhan keuntungan syarikat dan kebajikan kakitangan? Rakyat berhak tahu, adakah ini pengurusan fiskal yang adil?” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Petronas akan mengurangkan 10 peratus pekerja dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak negara itu.
Namun, jumlah itu jauh lebih kecil berbanding syarikat-syarikat antarabangsa yang telah melakukan pemberhentian pekerja secara besar-besaran ekoran ketidaktentuan industri minyak dan gas di peringkat global.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, keseluruhan industri minyak dan gas pada masa kini adalah tidak berapa baik.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan lebih 5,000 pekerja Petronas yang terlibat adalah pekera kontrak.
“Kebanyakannya kontrak,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas selesai solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Jalan Pinggiran Putra, di Sepang, hari ini. – UTUSAN










