KUALA LUMPUR: Rayuan Sisters In Islam (SIS) Forum untuk membatalkan fatwa dikeluarkan pihak berkuasa Islam Selangor pada 2014 yang melabel pertubuhan itu sebagai sesat akan diputuskan pada 19 Jun ini.
Menurut peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (Jawatankuasa Fatwa), tarikh keputusan itu diberikan kepada pihak-pihak melalui emel oleh Mahkamah Persekutuan pada 20 Mei lalu.
Selain Jawatankuasa Fatwa, turut dinamakan sebagai responden dalam rayuan tersebut ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.
Pada prosiding sebelum ini, rayuan tersebut didengar panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Pada 2014, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa terhadap SIS Forum dengan menyatakan kumpulan itu mengamalkan ideologi liberalisme dan pluralisme, bertentangan dengan ajaran Islam. Fatwa itu diwartakan pada 31 Julai tahun sama.
Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum, pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa tersebut.
Mereka antara lain memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan MAIS yang menyatakan bahawa pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Selain itu, mereka memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai ‘company limited by guarantee’ tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS.
Pada 27 Ogos 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat kerana mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak.
Pada 14 Mac 2023, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa tersebut setelah penghakiman majoriti oleh Hakim-hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menyatakan tiada sebarang kekhilafan yang dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Selain itu, penghakiman menentang oleh Hakim Datuk M. Gunalan menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila gagal memberikan pertimbangan kehakiman bahawa responden pertama (Jawatankuasa Fatwa) bertindak melangkaui bidang kuasanya.










