Israel cuba hasut puak di Palestin menentang Hamas - Utusan Malaysia

Israel cuba hasut puak di Palestin menentang Hamas

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Khamis mendedahkan Israel ‘mengaktifkan’ beberapa puak Palestin di Gaza bagi menentang Hamas walaupun peranan sebenar kumpulan ini masih tidak jelas.

Kenyataan itu merupakan pengakuan pertama secara terbuka mengenai sokongan Israel terhadap kumpulan bersenjata Palestin di dalam Gaza yang berpaksikan puak atau keluarga besar berpengaruh.

Puak-puak ini mempunyai pengaruh tersendiri di beberapa kawasan di Gaza dan sesetengahnya pernah bertelagah atau berkonflik dengan Hamas. Namun, penduduk Palestin dan pekerja bantuan telah menuduh sesetengah puak melakukan rompakan dan merampas bantuan kemanusiaan.

Beberapa puak juga telah mengeluarkan kenyataan awam menolak kerjasama dengan Israel dan mengecam sebarang kegiatan penjarahan.

Seorang pegawai Israel yang enggan dikenali memberitahu, antara kumpulan yang dimaksudkan Netanyahu ialah Popular Forces yang diketuai oleh Yasser Abu Shabab, seorang ketua puak dari Rafah, bandar paling selatan Gaza.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan Abu Shabab mengumumkan mereka membantu melindungi penghantaran makanan ke pusat agihan yang disokong Israel, dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) di kawasan Rafah. Namun, beberapa rakyat Palestin menuduh kumpulan itu juga terlibat dalam serangan ke atas konvoi bantuan dan perbuatan merampas makanan.

Netanyahu tidak menjelaskan secara terperinci bentuk sokongan yang diberikan Israel kepada puak-puak terbabit atau peranan khusus mereka. Pengumuman itu hadir beberapa jam selepas seorang ahli politik pembangkang Israel mengecam tindakan Netanyahu kerana membekalkan senjata kepada kumpulan Palestin tersebut.

Kumpulan Abu Shabab mula menonjol secara terbuka sejak sebulan lalu dengan menyiarkan gambar ahli mereka bersenjata lengkap dengan topi keledar dan jaket kalis peluru. Mereka menyatakan diri sebagai kuasa nasionalis yang melindungi bantuan kemanusiaan.

Namun begitu, keluarga besar Abu Shabab menolak Yasser dan membuat kenyataan bahawa beliau dan mana-mana individu yang menyertai kumpulannya tidak lagi ada kaitan dengan keluarga tersebut.

Dalam kenyataan balas kepada soalan dari Associated Press, pejabat media kumpulan itu berkata mereka hanya beroperasi di kawasan yang dikawal tentera Israel atas sebab kemanusiaan semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×