Zulkarnain buat model kenderaan daripada tin minuman

Zulkarnain buat model kenderaan daripada tin minuman

ZULKARNAIN Omar bersama model kapal pejuang dan motosikal diperbuat daripada tin minuman terpakai dirumahnya di Parit Baran, Jalan Sungai Nyiur, Kampung Pulai Sebatang, di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Meskipun kehila­ngan kaki kanan awal tahun ini, semangat Zulkarnain Omar, 37, untuk terus berdikari tidak pernah luntur.

Zulkarnain yang menetap di Kampung Pulai Sebatang di sini, berkata, beliau menjalani pembedahan memotong kaki kanan pada 31 Januari lalu akibat kerosakan teruk pada tulang selepas terlibat dalam kemalangan ngeri sewaktu berusia 21 tahun.

Katanya, akibat kemalangan itu, dia mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk, peha, punggung dan hancur buku lali.

Walaupun insiden berkenaan sudah lama berlalu, kecederaan itu akhirnya membawa kepada amputasi.

Ekoran keadaan fizikal terjejas, Zulkarnain tidak lagi mampu bekerja sebagai pembantu kedai makan di Terminal Pengangkutan Awam Pontian. Namun, masa lapang yang ada dimanfaatkan membina model pelbagai jenis kenderaan menggunakan tin minuman terpakai.

“Minat terhadap seni dan lukisan sejak di bangku sekolah. Jadi saya cuba buat model motosikal dan lori secara manual, tanpa menggunakan mesin, hanya de­ngan tangan,” katanya ditemui di kediamannya di Parit Baran, Jalan Sungai Nyiur, semalam.

Antara model dihasilkan termasuklah vespa, skuter, motosikal berkuasa tinggi, lori, kapal perang Jepun dan banyak lagi – kesemuanya berasaskan gambar rujukan da­ripada internet.

Proses pembinaan setiap model mengambil masa antara dua hingga lima hari, bergantung kepada tahap kerumitan dan saiz. Sebuah model memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga lima tin minuman untuk disiapkan, terutamanya bagi model besar seperti lori dan kapal terbang.

Dia yang kini tinggal bersama ibu, Siti Dahlah A. Ghani, 69, berjaya menjual hasil karyanya kepada pelanggan dari seluruh negara menerusi media sosial, termasuk seorang pengumpul barangan jenama Milo dari Buloh Kasap, Segamat yang membeli enam buah model vespa yang diperbuat sepenuhnya daripada tin Milo.

“Ramai rakan mula menyumbang tin kosong selepas melihat hasil kerja tangan saya. Ada yang kata sebiji macam model sebenar,” katanya.

Model hasil tangan Zulkarnain dijual antara RM40 hingga RM150 seunit, tidak termasuk kos penghantaran.

Hasil kreatif pemuda ini boleh didapati dengan menghubungi talian 010-773 9177 atau terus ke rumahnya di Parit Baran, Kampung Pulai Sebatang, Pontian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×