YUNNAN: Seorang wanita muda dari wilayah Yunnan, China mencuri tumpuan ramai apabila berkongsi pengalaman luar biasa yang dilaluinya sepanjang tempoh kehamilan, termasuk perubahan fizikal yang begitu ketara pada wajahnya hingga sukar dikenali namun kini pulih seperti sediakala.
Li Wei, seorang wanita dari Kunming, berkongsi kisah itu menerusi platform media sosial Weibo, dan catatannya menjadi tular dalam kalangan warga maya di negara itu.
Menurut Li, pada awal kehamilan dia berasa sangat gembira apabila mengetahui dirinya bakal bergelar ibu malah mendapati kulitnya bertambah berseri, masalah jerawat hilang dan tubuhnya penuh tenaga.
Doktor memaklumkan perubahan itu berpunca daripada peningkatan hormon estrogen dan progesteron, satu fenomena biasa yang digelar sebagai “keceriaan kehamilan” namun segalanya berubah memasuki bulan kelima kehamilan, apabila Li mula menyedari wajahnya berubah secara mendadak dengan hidungnya membesar, garis halus pada wajah menjadi lebih dalam sehingga dia tidak mengenali dirinya sendiri di cermin.
Memasuki trimester kedua dan ketiga, Li berdepan lebih banyak perubahan fizikal dengan tompokan gelap yang dikenali sebagai ‘pregnancy spots’ muncul di pipi, manakala lengan dan kakinya membengkak.
Walaupun doktor menyatakan perubahan itu normal, Li tetap mengambil inisiatif menjaga pemakanannya dengan mengurangkan pengambilan gula dan lemak, di samping melakukan senaman ringan untuk mengurangkan kesan perubahan tersebut.
Selepas melahirkan anak, dia turut mengalami keguguran rambut yang ketara, satu keadaan yang lazim selepas bersalin dan mendapati kulitnya bertukar dari jenis berminyak kepada kering namun begitu, Li terus mengekalkan amalan pemakanan sihat dan bersenam secara berkala beberapa bulan kemudian, wajah dan penampilannya kembali seperti dahulu.
“Kehamilan saya sangat sukar, tetapi melihat kehidupan baharu yang lahir daripada rahim saya membuatkan semua itu berbaloi,” tulisnya di Weibo sambil berkongsi gambar-gambar perubahan wajahnya serta gambar bersama bayi.
Perkongsiannya pantas meraih perhatian ramai, dengan ribuan pengguna media sosial menyatakan kekaguman terhadap ketabahan dan keterbukaannya berkongsi pengalaman.
Sementara itu, pakar perubatan menasihatkan para ibu muda agar tidak panik sekiranya mengalami perubahan fizikal yang drastik semasa kehamilan, kerana ia merupakan proses semula jadi tubuh menyesuaikan diri dengan pertumbuhan janin.










