ARAFAH: Gunung Arafah mula dibanjiri jemaah yang menjalani kemuncak ibadah haji atau masyair dalam keadaan cuaca panas terik dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius.
Ribuan jemaah haji sudah mula berkumpul di sekitar kawasan gunung itu sebelum Subuh lagi, dan kebanyakan jemaah akan menghabiskan masa berjam-jam untuk melakukan ibadah, termasuk membaca al-Quran, berzikir serta berdoa hingga lewat petang sepanjang berwukuf hari ini sebelum bergerak ke Muzdalifah.
“Sebelum ini, saya sering menonton siaran kemuncak ibadah haji yang ke udara menerusi televisyen setiap tahun, dan sentiasa berfikir: ‘Semoga saya dapat berada di sini…’ Saya amat bersyukur impian saya itu akhirnya tercapai,” kata Ali, 33, dari Pakistan iaitu seorang daripada 1.5 juta jemaah haji tahun ini .
“Ini adalah satu impian yang amat besar bagi saya,” katanya dalam nada begitu terharu kepada AFP.
Pada awal minggu ini, pihak berkuasa Arab Saudi menasihati jemaah haji supaya berada di dalam khemah masing-masing antara jam 10 pagi hingga 4 petang, hari ini, ketika pancaran matahari dijangka paling terik pada waktu itu.
Bagaimanapun, kipas dengan semburan air kabus dan membantu menyejukkan udara, telah ditempatkan di kaki gunung berkenaan.
Musim haji tahun ini menyaksikan jemaah berdepan cabaran suhu tinggi melangkaui 40 darjah Celsius, dengan pegawai-pegawai mempertingkat usaha mengurangkan haba bagi mencegah berulangnya insiden pada musim haji tahun lalu di mana seramai 1,301 jemaah meninggal dunia dalam keadaan suhu cuaca panas mencecah 51.8 darjah Celsius.
“Saya datang awal pagi sebelum matahari terik, dan kemudian akan meneruskan ibadah di dalam khemah pula,” kata jemaah haji dari Syria, Adel Ismail, 54.
Sebagai langkah meningkatkan keselamatan pada musim haji ini, pihak berkuasa telah memperkembangkan pelbagai infrastruktur, mengerah ribuan petugas tambahan, serta menggunakan peralatan berteknologi tinggi bagi membantu menguruskan lautan jemaah dengan lebih baik.










