PETALING JAYA: Pendigitalan dalam sektor peruncitan tempatan kini bukan sekadar pilihan, malah menjadi keperluan utama bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sekali gus memperkukuh daya saing serta memperluas capaian pasaran.
Perubahan itu didorong oleh pelbagai inisiatif pendigitalan yang disokong oleh sektor kerajaan dan swasta, termasuk pembangunan infrastruktur internet secara holistik yang membuka akses kepada ekonomi digital tanpa mengira saiz perniagaan.
Dalam pada itu, PMKS giat meneroka potensi platform Tiktok Shop dalam membina komuniti pelanggan, memperkukuh jenama dan mencipta aliran pendapatan baharu.
Pengasas bersama jenama Al-Cataly, perniagaan pakaian solat patuh syariah dan keperluan haji dan umrah, Nik Nur Adzuan, peralihan kepada digital merupakan langkah penting dalam memperluaskan capaian jenamanya.
“Saya dapati apabila kita terlalu bergantung kepada kedai fizikal, ia sangat mencabar dan memakan kos yang tinggi. Tiktok shop memberi peluang kepada kami untuk menjana pendapatan tanpa perlu menanggung kos operasi yang besar.
“Melalui inisiatif ini, kami berjaya meningkatkan pengikut media sosial hampir 10,000 orang dalam tempoh dua bulan dan mencatat pertumbuhan jualan sebanyak 12 kali ganda,” katanya.
Pengasas dan pengendali perniagaan durian tempatan jenama Pak Ali, Kamarul Zaman, turut mengakui kepentingan untuk menyatukan peruncitan fizikal dan digital demi membina jenama yang mampan.
“Cabaran utama kami ialah ketidaktentuan jualan secara fizikal, terutama kerana durian mudah rosak. Dengan siaran langsung di TikTok Shop, pelanggan boleh lihat sendiri kesegaran buah yang dibuka secara langsung, sekali gus meningkatkan kepercayaan mereka,” jelasnya.
Kini, Pak Ali mempunyai lebih 24,000 pengikut di TikTok Shop dan menjual purata 1,500 kilogram durian setiap hari, selain menerima tempahan katering untuk acara secara fizikal.
Dalam pada itu, seorang lagi usahawan Frisha Classic Desserts and Bakery, Frisha Fazara Ishak berkata, perniagaan keluarga yang diusahakan sejak 1990 juga melihat pendigitalan sebagai pemangkin utama kelestarian jenama mereka.
“Dahulu kami hanya bergantung kepada jualan di bazar bermusim. Kini dengan Tiktok Shop, jenama kami menerima jualan lima angka secara konsisten setiap bulan. Kami juga berjaya mengumpul lebih 4300 pengikut setia,” katanya. – UTUSAN









