PETALING JAYA: Syarikat peneraju ekosistem sokongan kenderaan, Bateriku.com memeterai kerjasama strategik dengan pakar teknologi kenderaan elektrik (EV), RYDE EV bagi mempercepat agenda mobiliti elektrik di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi berkata, kerjasama itu membuktikan syarikat bukan sahaja bersedia dari segi teknologi malah komited menjadikan mobiliti elektrik boleh dicapai semua lapisan masyarakat.
“Ini juga peluang besar untuk BHero dan komuniti menjana pendapatan melalui penyertaan dalam ekonomi hijau,” katanya dalam kenyataan.
Kerjasama yang dimeterai di Pitstop Bateriku Cheras, semalam itu turut memperkenalkan dua inisiatif utama iaitu Stesen Pertukaran Bateri EV dan khidmat penukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RYDE EV, Syed Ahmad Faiz berkata, kolaborasi itu adalah kunci memperluaskan akses EV secara menyeluruh daripada pertukaran bateri sehingga transformasi ICE ke EV.
“Dengan gabungan kekuatan teknologi dan jaringan Bateriku, kami yakin ini permulaan kepada revolusi mobiliti hijau di Malaysia,” katanya.
Stesen Pertukaran Bateri EV akan menyediakan penyelesaian pantas dan mudah untuk pengguna menukar bateri tanpa menunggu proses pengecasan.
Stesen itu akan beroperasi di 10 lokasi Pitstop Bateriku iaitu Bangsar, Ampang, Kelana Jaya, Kepong, Pudu, Saujana Putra, Subang Perdana, Permaisuri Cheras, Balakong dan Kajang.
Selain itu, inisiatif penukaran ICE ke EV akan memberi peluang baharu kepada pemilik kenderaan sedia ada mengubahsuai kenderaan mereka kepada EV dengan kos berpatutan.
Kerjasama itu juga akan membangunkan model BHero dengan menyediakan peluang pekerjaan melalui ekonomi gig serta melatih lebih ramai teknisyen mudah alih bagi menyokong ekosistem EV.-UTUSAN










