Walaupun fasa pandemik sudah berlalu, namun Long Covid masih memberi kesan kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia.
Ramai yang terus mengalami simptom berpanjangan setelah sekian lama jangkitan, termasuk keletihan melampau, masalah penghadaman dan fikiran menjadi kabur.
Tentunya keadaan ini memberi kesan kepada kehidupan seharian masyarakat.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada 10 pesakit Covid-19 mengalami simptom jangka panjang yang boleh bertahan selama beberapa bulan dan dalam sesetengah kes, memakan masa selama bertahun-tahun.
Walaupun Covid-19 ialah penyakit pernafasan, kajian baharu yang menggunakan data metagenomik rakyat Asia yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) mendedahkan lebih 72 peratus pesakit Long Covid mengalami kerosakan usus serius.
Menurut Lancet Study Alert, kerosakan itu berkait rapat dengan peningkatan tiga kali ganda bakteria berbahaya seperti E.coli dan Bacteroides, serta kehilangan sebanyak 60 peratus bakteria pelindung seperti Bifidobacterium dan Faecalibacterium.
Kerosakan mikrobiom usus ini tidak pulih dengan sendiri, malah kekal selama enam hingga 12 bulan selepas virus hilang.
Lebih membimbangkan, pesakit yang mengalami kerosakan usus inilah yang kemudian membentuk simptom Long Covid yang bukan sahaja di usus, tetapi turut memberi kesan kepada otak, kulit, tenaga serta mencetuskan keradangan kronik.
Penyelidik mikrobiom The Chinese University of Hong Kong (CUHK), Prof. Siew C. Ng berkata, kaitan antara Long Covid dan kesihatan usus lambat dikenal pasti kerana kebanyakan penyelidikan Covid-19 lebih tertumpu kepada sistem pernafasan dan kurang memberi perhatian
kepada peranan penting sistem penghadaman.
“Kini, kita baru sahaja mendapati mikrobiom usus iaitu trilion mikrob yang terdapat dalam sistem penghadaman manusia memainkan peranan penting dalam menyokong sistem imuniti.
“Pada awal pandemik, pasukan kami di CUHK merupakan antara yang pertama melaporkan pesakit Covid-19 akut menunjukkan perubahan dalam mikrobiota usus serta gangguan sistem imun, yang seterusnya mempengaruhi tahap keseriusan penyakit.
“Kami kemudian mendapati perubahan dalam mikrobiota usus ini memberi kesan terhadap risiko Long Covid, yang melibatkan pelbagai simptom berpanjangan seperti keletihan, fikiran kabur, kesukaran menumpukan perhatian serta gangguan sistem penghadaman walaupun virus
SARS- CoV-2 telah hilang sepenuhnya daripada tubuh pesakit,” katanya.
Dalam satu tinjauan melibatkan 1,000 individu sihat di Hong Kong, kajian itu turut mendapati lebih 75 peratus daripada responden mengalami disbiosis (ketidakseimbangan mikrobiota usus) sekali gus meningkatkan risiko mengalami jangkitan serta penyakit serius lain.

KURANG BAKTERIA BAIK
Kerosakan usus yang diperhatikan dalam kalangan pesakit Long Covid dikenali sebagai disbiosis, iaitu ketidakseimbangan yang ketara dalam mikrobiota usus.
Ia mengakibatkan penyusutan bakteria usus yang bermanfaat seperti Bifidobacterium, yang berfungsi untuk mengekalkan keutuhan penghadang usus, mengurangkan keradangan dan menghasilkan metabolit anti-radang seperti asid lemak rantai pendek (SCFAs).
“Dalam masa sama, berlakunya pertumbuhan berlebihan patogen oportunistik, seperti spesies Enterobacteriaceae dan Clostridium yang mencetuskan keradangan dan mengganggu keseimbangan usus.
“Ketidakseimbangan ini berkait rapat dengan peningkatan kebolehtelapan usus, di mana sambungan ketat antara sel-sel lapisan usus menjadi lemah, yang seterusnya membolehkan toksin dan serpihan mikrob masuk ke dalam aliran darah.
“Hal Ini mencetuskan keradangan sistemik yang merupakan salah satu ciri utama Long Covid,” jelasnya.
Penyusutan bakteria bermanfaat seperti Bifidobacterium dalam kalangan pesakit Long Covid mengganggu laluan biologi penting, secara langsung atau tidak langsung mencetuskan pelbagai simptom penyakit itu.
Sebagai contoh, Bifidobacterium menghasilkan asid lemak rantai pendek (SCFAs) seperti butirat, yang membekalkan tenaga kepada sel usus, mengawal metabolisme tenaga dan mengurangkan keradangan.
Kekurangan SCFAs menjejaskan fungsi mitokondria, sekali gus menyumbang kepada keletihan. Keradangan kronik akibat disbiosis juga mencetuskan ‘tingkah laku sakit’ seperti keletihan.
“Selain itu, SCFAs juga membantu mengekalkan keutuhan penghalang darah-otak dan mengawal penghasilan neurotransmiter seperti serotonin.
“Kehilangannya boleh menyebabkan toksin dari usus yang bocor menembusi otak, mencetuskan keradangan neurologi yang menyebabkan kabut otak.
“Keadaan ini mengganggu komunikasi saraf dan menjejaskan fokus serta ingatan. Disbiosis usus juga menjejaskan paksi usus-otak sekali gus menjejaskan fungsi kognitif,” katanya.
Radang yang berlaku disebabkan disbiosis juga boleh menyebabkan tindak balas imun pada kulit seperti ruam, ekzema atau psoriasis.
Ditanya tentang relevan kajian itu kepada pesakit di Malaysia, kata C. Ng, laporan awal dan beberapa kajian serantau menunjukkan corak ketidakseimbangan usus dalam kalangan pesakit Long Covid serupa dengan yang diperhatikan di Hong Kong dan beberapa negara lain.
Mekanisme yang dikongsi bersama seperti disbiosis mikrobiom dan keradangan sistemik berkemungkinan bersifat universal.
Kajian serantau dari Hong Kong dan Singapura menunjukkan penyusutan bakteria Bifidobacterium dan peningkatan mikroba pro-radang dalam kalangan pesakit Long Covid iatu corak yang berkemungkinan turut wujud di Malaysia memandangkan terdapat persamaan daripada
segi strain virus dan sistem pelaporan kesihatan.
Justeru, penambahan semula bakteria usus yang bermanfaat utamanya bagi pesakit yang kekurangan bakteria ini, berpotensi menjadi salah satu strategi untuk mengurangkan gejala Long Covid di Malaysia.
KURANGKAN GEJALA
Walaupun pemakanan sihat penting untuk kesihatan usus, namun ia bukanlah satu-satunya cara untuk mengatasi isu ini.
Sebaliknya, rawatan yang menyasarkan pemulihan mikrobiom memberikan hasil yang lebih baik.
Dalam satu kajian rawak di Hong Kong melibatkan 463 pesakit Long COVID, penyelidik mendapati pemulihan mikrobiom usus selama enam bulan berjaya mengurangkan simptom seperti keletihan, masalah ingatan, kesukaran fokus, gangguan usus dan rasa tidak sihat.
Kajian juga menunjukkan peningkatan bakteria usus baik serta penurunan patogen berbahaya.
Justeru, saringan mikrobiom usus berpotensi membantu mengesan awal masalah usus pada pesakit Long Covid.
Selain itu, hubungan antara ketidakseimbangan mikrobiom (disbiosis) dan simptom Long Covid juga masih dalam kajian.
Langkah praktikal yang dicadangkan adalah fokus kepada pesakit berisiko tinggi, terutama dengan simptom gastrointestinal.
“Buat masa ini, penggunaan probiotik presisi yang telah terbukti keberkesanannya mungkin lebih bermanfaat sementara kajian lanjut diteruskan.
“Ia boleh diberikan kepada individu yang menunjukkan simptom Long Covid yang berisiko,” ujarnya.










