GAZA: Tentera Israel memberi amaran kepada penduduk Gaza agar tidak melalui kawasan menuju ke pusat agihan bantuan, selepas sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin terbunuh akibat ditembak rejim.
Jurucakap tentera Israel mendakwa, kebanyakan jalan menuju ke pusat agihan yang ditubuhkan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) kini dianggap sebagai ‘zon pertempuran’.
Dalam satu hantaran di media sosial, GHF mengumumkan pusat agihannya ditutup pada Rabu untuk kerja kemas kini, penyusunan semula dan penambahbaikan kecekapan.
Kumpulan itu tidak memberikan maklumat lanjut mengenai bentuk penambahbaikan dilakukan, namun operasi dijangka disambung semula pada Khamis.
Organisasi yang disokong Amerika Syarikat (AS) itu berkata, ia sedang berbincang dengan tentera Israel untuk meningkatkan langkah keselamatan di luar perimeter terdekat tapak GHF.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, 27 orang terbunuh pada awal pagi kelmarin, ketika berkumpul untuk mendapatkan makanan di salah satu pusat agihan GHF.
Ini merupakan insiden ketiga seumpamanya dalam tempoh tiga hari, dengan tentera Israel buat pertama kali mengakui melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang sedang menghampiri mereka.
“Individu tersebut bergerak ke arah pasukan dengan cara yang menimbulkan ancaman,” dakwa tentera Israel dalam kenyataan.
KEMATIAN YANG PASTI
Seorang jurucakap GHF memberitahu Associated Press, pihaknya kesal apabila dimaklumkan sejumlah orang awam cedera dan terbunuh selepas melalui koridor selamat yang ditetapkan.
Insiden itu berlaku di lokasi sama, di mana lebih 30 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan Israel pada Ahad lalu ketika sedang menuju ke pusat agihan.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Volker Turk, menyifatkan ‘serangan maut’ terhadap orang awam di sekitar kawasan pengagihan makanan sebagai jenayah perang.
“Serangan maut terhadap orang awam yang terdesak dan cuba mendapatkan sejumlah kecil bantuan makanan di Gaza adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.
“Serangan yang disasarkan terhadap orang awam merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan jenayah perang,” katanya.
Saksi memberitahu The Guardian, tembakan bermula di kawasan Bulatan Bendera di bandar itu, kira-kira satu kilometer dari pusat pengagihan makanan.
Fadi Abu Mohammad, 43, berkata saudaranya, Mohammad Abu Shamala, 22, terbunuh berhampiran lokasi bantuan.
“Apabila tembakan dilepaskan ke arah orang awam, dia terkena peluru di bahagian belakang dan meninggal dunia serta-merta.
“Pergi ke tempat agihan bantuan adalah risiko besar dan boleh menjadi hukuman mati, tetapi semua tiada pilihan lain. Jika tidak mati kerana peluru atau bom, mereka akan mati kebuluran,” katanya.
PELANTIKAN BAHARU KETUA GHF
Israel mengenakan sekatan ke atas semua bekalan pada Mac, dengan menuduh Hamas menyeleweng penghantaran bantuan untuk kegunaan kumpulan pejuang.
Kumpulan itu bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan pegawai bantuan Gaza menegaskan tiada bukti wujud penyalahgunaan secara meluas.
GHF, yang kini menguruskan pengagihan makanan di Gaza dan disokong Israel, mengambil alih pengurusan bantuan walaupun mendapat bantahan PBB dan organisasi kemanusiaan lain.
Mereka mengkritik sistem baharu pengagihan itu dan menyifatkannya tidak mampu memenuhi keperluan 2.3 juta penduduk Gaza serta membolehkan Israel menggunakan makanan sebagai senjata.
Kelmarin, pemimpin evangelis dan penasihat kepada Presiden Donald Trump, Johnie Moore dilantik sebagai ketua baharu GHF.
Pelantikan itu bagi menggantikan bekas anggota marin, Jake Wood, yang meletakkan jawatan atas alasan tidak dapat menjamin kebebasan GHF daripada kepentingan Israel.











