PETALING JAYA: I-Berhad, pemaju hartanah mengumumkan komitmen awal sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan robotik merentasi portfolio aset yang menjana pendapatan menjelang 2028.
Fasa baharu itu akan dimulakan dengan peningkatan sistem berasaskan AI di Mercu Maybank, sebuah menara korporat 14 tingkat yang berfungsi sebagai pejabat alternatif utama Maybank di i-City.
Pelaksanaan ini akan diperluaskan ke pelbagai sektor utama termasuk Wyndham Suites i-City, Wyndham Suites KLCC, Wyndham Garden, hotel 5 bintang DoubleTree by Hilton i-City, pusat beli-belah Central i-City Mall, taman tema City of Digital Lights yang diiktiraf oleh CNN Travel, tempat letak kereta, pusat data Tier-3 dan pembangunan kediaman di i-City.
Inisiatif ini dibina berasaskan kejayaan strategi I-Berhad yang beralih kepada ‘menjana nilai daripada tanah’, yang diperkenalkan pada tahun 2024 untuk membuka potensi jangka panjang daripada nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM10 bilion di i-City.
Kini, lebih 50 peratus daripada GDV yang telah disiapkan terdiri daripada hartanah yang menjana pendapatan dan kumpulan ini sedang memasuki fasa yang menumpukan kepada pengoptimuman prestasi, kebolehskalaan operasi serta infrastruktur pintar.
Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, AI dan robotik merupakan sempadan baharu dalam usaha kumpulan menjana nilai daripada keseluruhan ekosistem.
Katanya, kumpulan telah membuktikan keupayaannya untuk menjana pendapatan berulang.
“Kini, kumpulan sedang mempertingkatkan ‘enjin’ tersebut dengan sistem pintar yang menjadikan asetnya lebih cekap, adaptif dan bersedia menghadapi masa depan.
“Inisiatif ini merangkumi pelan hala tuju teknologi selama empat tahun (2025–2028) yang direka untuk menggabungkan automasi ke dalam operasi dalaman dan pengalaman pelanggan.
“Contohnya termasuk penyelenggaraan ramalan, pengurusan aliran pelawat serta perkhidmatan bantuan robotik di ruang komersial, runcit dan hospitaliti,” katanya.
Menurutnya, SuperApp i-City milik kumpulan akan berperanan sebagai platform pusat bagi penyepaduan teknologi Robotik-sebagai-Perkhidmatan (RaaS) dalam seluruh ekosistem aset mereka dengan perancangan masa depan untuk membolehkan penyewa memanfaatkan infrastruktur bersama bagi mengoptimumkan operasi masing-masing.
I-Berhad kini sedang menjalankan perbincangan dengan rakan teknologi AI dan robotik terkemuka seperti Unitree, DeepSeek dan Baidu dalam usaha meletakkan i-City sebagai pembangunan berasaskan AI yang berskala besar.
“Rekod prestasi kumpulan dalam merintis infrastruktur pintar daripada sambungan fiber-ke-rumah hingga ke tarikan digital memberikan asas kukuh untuk memacu transformasi AI bandar di Malaysia.
“Kami bukan sekadar membina mengikut keperluan hari ini. Kami sedang melindungi masa depan aset kami dan membina satu ekosistem bandar pintar di mana prestasi, pengalaman dan data bergerak seiring,” ujarnya.-UTUSAN










