RIYADH: Kementerian Pertahanan Arab Saudi mengerahkan armada pesawat pemindahan udara bagi menangani kes kecemasan perubatan sepanjang musim haji yang bermula hari ini.
Kementerian itu akan menyediakan perkhidmatan ambulans canggih untuk memindahkan kes kesihatan kecemasan dari lokasi haji ke hospital di dalam dan luar Mekah.
Dianggarkan 1.25 juta umat Islam mengambil bahagian dalam ibadah haji tahun ini, yang bermula antara 4 hingga 9 Jun.
Pasukan logistik dan perubatan kementerian akan menyelia operasi pemindahan udara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.
Setiap pesawat dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan seumpama unit rawatan rapi (ICU) hospital, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Pesawat tersebut akan ditempatkan berhampiran lokasi haji bagi membolehkan respons pantas terhadap kes kecemasan demi menjaga kesihatan jemaah.
Pengumuman kementerian itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kesihatan meluas yang dilancarkan oleh pihak berkuasa dan syarikat Arab Saudi sepanjang musim haji.
Isnin lalu, pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan penggunaan dron bagi menghantar ubat-ubatan dan bekalan perubatan lain kepada pesakit semasa haji, sekali gus mengurangkan masa penghantaran satu jam kepada hanya enam minit.
Inisiatif itu meliputi rangkaian lebih 136 lokasi di beberapa tapak dan membolehkan lebih daripada 2,000 jenis ubat serta bekalan perubatan dihantar.










