PETALING JAYA: CAB Cakaran Corporation Berhad (CAB), satu daripada pengeluar makanan terbesar Malaysia melaporkan peningkatan 30.8 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM19.75 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2025 berakhir 31 Disember 2024.
Prestasi memberangsangkan itu dicapai walaupun berdepan penurunan kecil sebanyak 0.2 peratus dalam hasil kepada RM573.72 juta.
Menurut kenyataannya, pada peringkat operasi, bahagian ternakan ayam bersepadu mencapai keuntungan operasi yang lebih tinggi sebanyak 48.6 peratus sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan 11 peratus dalam harga makanan.
Katanya, ia juga menikmati purata harga jualan ayam pedaging dan anak ayam yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak enam peratus dan empat peratus.
“Oleh itu, perolehan sesaham berada pada 2.82 sen untuk tempoh tersebut, daripada 2.15 sen sebelumnya.
“Pada asas enam bulan hingga 31 Mac 2025, CAB merekodkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 10.4 peratus kepada RM47.93 juta dan lonjakan pendapatan sebanyak 3.92 peratus kepada RM1.17 bilion.
“Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh ketiadaan subsidi kerajaan berjumlah RM39.8 juta diterima pada suku pertama 2024,” katanya.
Jelasnya, tidak termasuk subsidi ini pada suku pertama2024, keuntungan sebelum cukai CAB sebenarnya meningkat 40.36 peratus kepada RM77.66 juta untuk tempoh enam bulan.
Kedudukan kewangan kumpulan kekal kukuh untuk tempoh tersebut, dengan kedudukan tunai CAB meningkat kepada RM209.69 juta, daripada RM180.97 juta sebelumnya.
Pengarah Urusan Kumpulan CAB, Christopher Chuah Hoon Phong berkata, pihaknya beroperasi tanpa subsidi selama lima suku sekarang, sejak pemberhentian subsidi kerajaan.
Katanya, pertumbuhan terutamanya pada tahap operasi, menunjukkan kumpulan cekap dan boleh berkembang maju tanpa subsidi.
“Kami bermula sebagai syarikat ayam pedaging, tetapi hari ini, kami adalah syarikat makanan bersepadu dengan bahagian pemprosesan makanan dan runcit.
“Kami optimistik dengan prestasi kumpulan pada suku akan datang dan akan secara proaktif melaksanakan strategi untuk menyokong pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” ujarnya.-UTUSAN











