ISTANBUL: Wakil dari Russia dan Ukraine bertemu pada Isnin bagi rundingan damai secara langsung buat kali kedua dalam tempoh lebih dua minggu, namun tiada sebarang kemajuan dicapai untuk menamatkan perang yang berlarutan selama tiga tahun.
Satu-satunya persetujuan yang dicapai adalah pertukaran 6,000 mayat tentera dan askar yang cedera parah.
Pertemuan tersebut berlangsung sehari selepas kedua-dua negara melancarkan serangan jarak jauh yang mengejutkan. Ukraine menyerang pangkalan udara Russia dengan dron manakala Russia melancarkan serangan dron terbesar dalam perang ini ke atas Ukraine.
Dalam rundingan tersebut, delegasi Russia membentangkan satu memorandum yang menggariskan syarat Kremlin untuk menamatkan permusuhan, menurut pihak Ukraine.
Menteri Pertahanan Ukraine, Rustem Umerov yang mengetuai delegasi negara itu memberitahu media bahawa pihak Kyiv memerlukan masa seminggu untuk meneliti dokumen tersebut sebelum membuat keputusan mengenai tindak balas. Ukraine turut mencadangkan pusingan rundingan seterusnya diadakan antara 20 hingga 30 Jun ini.
Agensi berita milik kerajaan Russia, Tass dan RIA Novosti menerbitkan teks memorandum tersebut yang mencadangkan Ukraine menarik balik tenteranya dari empat wilayah yang dianeksasi oleh
Russia pada September 2022, namun masih belum dikuasai sepenuhnya sebagai syarat gencatan senjata.
Dokumen itu juga menuntut Ukraine menghentikan usaha mobilisasi ketenteraan dan membekukan penghantaran senjata dari Barat iaitu syarat yang pernah dinyatakan Presiden Russia, Vladimir Putin sebelum ini.










