PBB desak siasatan tragedi berdarah di tapak bantuan kemanusiaan Gaza - Utusan Malaysia

PBB desak siasatan tragedi berdarah di tapak bantuan kemanusiaan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin menggesa siasatan bebas berhubung insiden yang mengorbankan dan mencederakan puluhan rakyat Palestin berhampiran sebuah pusat bantuan yang disokong Amerika Syarikat (AS) di Gaza.

Menurut agensi pertahanan awam Gaza, sekurang-kurangnya 31 rakyat Palestin terbunuh dan 176 lagi cedera akibat tembakan tentera Israel berhampiran lokasi pengagihan bantuan di bandar selatan Rafah pada Ahad. Petugas perubatan di hospital berdekatan turut melaporkan lonjakan jumlah mangsa yang mengalami kecederaan akibat tembakan.

Tentera Israel bagaimanapun menafikan mereka melepaskan tembakan ke arah orang awam ketika mereka berada berhampiran atau di dalam kawasan pusat bantuan itu.

Namun, satu sumber tentera mengakui tembakan amaran dilepaskan ke arah beberapa suspek kira-kira satu kilometer dari lokasi tersebut pada waktu malam.

“Saya sangat terkejut dengan laporan rakyat Palestin yang terbunuh dan cedera ketika cuba mendapatkan bantuan di Gaza semalam. Adalah tidak boleh diterima bahawa rakyat Palestin terpaksa mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkan makanan.

“Saya menggesa agar siasatan segera dan bebas dijalankan terhadap kejadian ini, dan pihak yang bertanggungjawab perlu diadili,” kata Guterres dalam satu kenyataan tanpa menyalahkan mana-mana pihak secara langsung.

Kementerian Luar Israel menyifatkan kenyataan itu sebagai memalukan dan mengecam Guterres kerana tidak mengkritik Hamas.

Kerajaan Israel telah bekerjasama dengan sebuah pertubuhan dikenali sebagai Gaza Humanitarian Foundation (GHF) bagi memperkenalkan mekanisme baharu dalam pengagihan bantuan di Gaza yang memintas sistem tradisional yang diketuai oleh PBB.

Namun, PBB menolak untuk bekerjasama dengan GHF kerana bimbang terhadap isu berkecuali pertubuhan itu.

Israel kini berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat supaya memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza susulan sekatan bantuan selama lebih dua bulan yang hanya baru-baru ini dilonggarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×