KESESAKAN semakin menjadi-jadi sehingga lebih dua kilometer (km) terutama pada musim perayaan dan cuti panjang menghala Plaza Tol Temerloh untuk masuk ke Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).
Keadaan ini berlaku kerana jalan dari Jerantut dan Taman Sri Semantan menghala ke Plaza Tol Temerloh merupakan jalan sehala yang agak sempit. Di samping itu jalan ini melalui banyak kampung dan taman perumahan, sekali gus mempunyai jumlah penduduk yang padat.
Kedua-dua jalan raya menghala ke Tol Temerloh merupakan laluan utama bukan sahaja bagi penduduk Temerloh tetapi juga Bera dan Jerantut. Ketiga-tiga daerah ini mempunyai keseluruhan bilangan penduduk hampir 400,000 orang. Maka sudah pasti bilangan kenderaan juga tinggi.
Sebilangan besar penduduk tiada pilihan laluan lain untuk ke LPT 1 melainkan melalui Temerloh dan menggunakan laluan yang sama untuk memasuki Tol Temerloh.
Cadangan supaya pihak berwajib menaik taraf jalan ini sudah diuar-uarkan melalui ruangan ini sebanyak dua kali dalam tempoh lima tahun. Namun begitu, sehingga kini masih tiada tanda-tanda positif atau perlu tempoh yang panjang untuk merancang.
Dapat dirasakan faktor dan pengaruh politik menyebabkan pihak berwajib mungkin agak keberatan dan bersikap diam diri.
Pihak berwajib sewajarnya mengenepikan sentimen kepartian atau politik demi pembangunan dan keselesaan rakyat umum, lebih-lebih lagi apabila Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap pada awal 2027.
Jalan ini juga penting sebagai penghubung untuk penumpang ECRL khususnya mereka dari Kerdau, Kuala Krau, Jerantut, Bandar Jengka Pusat, Taman Negara dan kawasan berhampiran.-UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang










