GUWAHATI: Polis India menahan puluhan individu kerana didakwa ‘bersimpati’ dan menyokong’ Pakistan, sebulan selepas konflik terburuk antara kedua-dua negara itu dalam tempoh beberapa dekad, kata pegawai kanan kerajaan, semalam.
Penahanan itu berlaku di timur laut Assam dengan Ketua Menteri, Himanta Biswa Sarma memaklumkan 81 individu antinasional kini ditahan kerana bersimpati dengan Pakistan.
Sarma dari parti pemerintah nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, berkata ‘hantaran antinasional di media sosial dipantau sistem, selain mengambil tindakan sewajarnya’.
Beliau juga giat memperhebat usaha membendung isu sensitif berkaitan pendatang asing tanpa izin.
Tindakan keras lebih meluas terhadap media sosial dilaksanakan sejak serangan ke atas pelancong di Kashmir iaitu serangan paling dahsyat ke atas orang awam di wilayah majoriti Muslim yang dipertikaikan itu dalam tempoh beberapa dekad, pada 22 April lalu,
New Delhi menyalahkan Islamabad kerana didakwa menyokong militan Islam, dikatakan bertanggungjawab terhadap serangan terbabit, namun Pakistan menafikan tuduhan itu.
India dan Pakistan kemudian terbabit dalam konflik selama empat hari, iaitu pertembungan terburuk antara kedua-dua negara sejak 1999, sebelum gencatan senjata dicapai, pada 10 Mei lalu.
Agensi pencegahan keganasan India bulan lalu, turut menahan seorang anggota polis paramiliter kerana didakwa mengintip untuk Pakistan, manakala pihak berkuasa menahan sekurang-kurangnya 10 individu lain atas tuduhan pengintipan sepanjang Mei lalu, menurut laporan media tempatan.
Assam berkongsi sempadan yang panjang dan mudah dibolosi dengan Bangladesh yang majoriti populasinya beragama Islam.
Media India melaporkan, kerajaan Assam didakwa menahan puluhan individu dipercayai warga Bangladesh sepanjang bulan lalu, dan membawa mereka ke sempadan untuk dihantar pulang.
Akhbar The Times of India Sabtu lalu, melaporkan Assam ‘meletakkan mereka ke kawasan tiada pemilik’, dengan anggaran sekurang-kurangnya 49 individu sudah dihantar pulang antara 27 hingga 29 Mei lalu.
Bangladesh yang dikelilingi India menyaksikan hubungan dengan New Delhi menjadi dingin selepas kerajaan Dhaka tumbang akibat pemberontakan tahun lalu.











