GAZA CITY: Israel terus menghalang kemasukan lebih 3,000 trak bantuan yang membawa keperluan kesihatan termasuk ubatan ke Semenanjung Gaza.
Tindakan itu memburukkan lagi situasi kemanusiaan di wilayah berkenaan.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh berkata, hampir semua hospital di Gaza berdepan ‘malapetaka’ akibat kekurangan ubatan dan peralatan kesihatan yang teruk.
Katanya, pihak berkuasa Israel menyekat kemasukan kesemua trak berkenaan dari bandar Arish di Mesir.
“Sekatan berterusan menghalang pelbagai ubatan dan vaksin penting dibawa masuk ke Gaza, sekali gus menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit.
“Berlaku peningkatan dalam kes cirit-birit akut, meningitis dan krisis kesihatan yang lain di Gaza, selain penduduk terputus bekalan air bersih hampir 90 peratus,” katanya.
Munir turut menyifatkan kaedah pengagihan bantuan yang diperkenalkan Israel sebagai alat ‘pembunuhan beramai-ramai dan pemindahan paksa’.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 300 cedera akibat diserang tentera Israel ketika mendapatkan bantuan kemanusiaan sejak 27 Mei lalu.











