LONDON: Universiti Cambridge, United Kingdom bersedia berkongsi pembiayaan bagi membawa tenaga pengajar dari Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah (Phd) di universiti berkenaan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut menjadi sebahagian persefahaman yang dapat dicapai pihaknya hasil pertemuan bersama pengurusan tertinggi dan profesor kanan universiti terkemuka dunia itu semalam.
“Kekuatan Universiti Cambridge adalah daripada segi penyelidikan dan pembangunan mereka termasuk dalam konteks bidang ilmu baharu seperti teknologi kuantum dan AI, ia merupakan bidang strategik yang diberikan keutamaan oleh kerajaan hari ini.
“Oleh sebab itu kita sebutkan bagaimana Mara boleh jalinkan hubungan dengan universiti untuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembiayaan bersama.
“Sebagai contoh, kita (Mara) hantar lima orang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dan PhD dan mereka juga akan taja lagi lima. Untuk mendapat tempat di Cambridge bukan mudah dan kedua kosnya juga tinggi berbanding universiti lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Asyraf Wajdi menambah, menerusi persefahaman itu, pelajar-pelajar yang berada dalam sistem pendidikan Mara akan memperoleh kualiti pendidikan yang terbaik kelak.
Terdapat seramai 9,987 pendidik dalam ekosistem Mara yang perlu ditingkatkan kapasiti mereka. Menerusi kerjasama seperti ini bermaksud pelajar-pelajar akan dapat kualiti pendidikan yang terbaik bagi memenuhi keperluan industri dan negara pada masa akan datang.
“Ia bukan hanya soal menaja pelajar untuk datang ke United Kingdom tetapi pelajar seramai 134,000 orang yang aktif ini perlu kita pastikan mereka dapat pendidikan TVET dan profesional yang terbaik, proses peningkatan kompetensi ini perlu ditingkatkan,” katanya lagi.
Dalam pada kata beliau, perbincangan bersama Universiti Cambridge juga menjurus bagaimana untuk memastikan Maktab Rendah Sains Mara (Mara) menjadi pembekal utama kepada pelajar dari negara ini ke universiti berkenaan.
“Ini kerana daripada 57 buah MRSM, terdapat 12 buah MRSM yang mengguna pakai sistem peperiksaan Cambridge iaitu IGCSE. Pencapaian pelajar kita juga amat memberangsangkan, 147 orang mendapat semua A dalam mata pelajaran IGCSE.
“Apabila saya berkongsikan dengan pihak Universiti Cambridge, mereka teruja. Saya maklumkan, Mara bukan hanya fokus kepada soal membiayai pengajian pelajar ke universiti luar negara tetapi mempunyai ekosistem pendidikan yang komprehensif.
“Laluan pelajar ke universiti ternama seperti Cambridge ini penting kerana kita mahu dedahkan mereka dengan sistem kurikulum yang diiktiraf antarabangsa.
“Universiti Cambridge juga sudah menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pengetua dan kaunselor kita di MRSM. Ini membolehkan pelajar cemerlang ini mempersiapkan diri bagi mereka masuk ke laluan universiti terkemuka seperti Cambridge,” katanya.
Sementara itu Asyraf Wajdi memaklumkan, tiga buah universiti di United Kingdom iaitu Universiti Warwick, Universiti Birmingham dan Universiti Edinburgh bersetuju untuk memberikan diskaun yuran pengajian bagi pelajar tajaan Mara di universiti berkenaan.
“Hasil rundingan, Universiti Warwick dan Universiti Birmingham memberikan diskaun 20 peratus manakala Universiti Edinburgh sebanyak 10 peratus,” katanya.-UTUSAN











