GAZA: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam serangan Israel berhampiran pusat agihan bantuan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) di Rafah, menurut agensi berita Palestin.
Menurut agensi berita WAFA, lebih 115 orang turut cedera termasuk kanak-kanak dalam serangan kejam itu.
Seorang penduduk Beit Lahia yang dipindahkan, Sameh Hamuda, 33 memberitahu AFP, dia berjalan kaki dari Gaza City dan bermalam di dalam khemah bersama saudara-maranya di kawasan Rafah sebelum menuju ke pusat agihan bantuan tersebut sekitar pukul 5 pagi (waktu tempatan).
“Mereka mula mengagihkan bantuan, tetapi tiba-tiba dron quadkopter datang dan menembak orang ramai dengan kereta kebal juga mula melepaskan tembakan berat. Beberapa orang maut di depan mata saya.
“Saya berlari dan terselamat. Kematian seakan-akan mengejar kami selagi kami berada di Gaza,” kataya.
Seorang lagi penduduk, Abdullah Barbakh, 58, turut menggambarkan suasana ngeri itu yang penuh kekecohan, jeritan dan kesesakan.
“Tentera rejim melepaskan tembakan dari dron dan kereta kebal. Keadaan menjadi huru-hara, kawasan itu dipenuhi mayat dan mangsa yang cedera.
“Saya tak faham kenapa mereka memanggil penduduk ke pusat bantuan tetapi kemudian menembak kami. Apa lagi yang harus kami buat?” katanya.
Ketika diminta mengulas insiden itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa tidak mengetahui sebarang kecederaan akibat tembakan anggota tentera rejim di dalam kawasan pusat agihan bantuan dan memaklumkan perkara itu masih dalam siasatan.
Rakyat Palestin menyuarakan keraguan terhadap sifat berkecuali GHF, terutamanya berikutan pemeriksaan biometrik dan kaedah penapisan lain yang diperkenalkan oleh Israel untuk menyingkirkan individu yang dikaitkan dengan Hamas daripada menerima bantuan.
Pada 28 Mei lalu, Hamas berkata, Israel membunuh sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin dan mencederakan 46 yang lain berhampiran pusat agihan GHF namun dinafikan badan itu.
Tentera Israel mendakwa pasukan mereka hanya melepaskan tembakan amaran di luar kawasan pusat itu untuk mengawal semula keadaan apabila ribuan penduduk Palestin menyerbu lokasi agihan bantuan tersebut.











