Gencatan senjata: Hamas kecewa usaha berat sebelah AS

Gencatan senjata: Hamas kecewa usaha berat sebelah AS

SEORANG wanita yang mendukung bayi menangis ketika penduduk Palestin memeriksa lokasi serangan Israel di Jabalia, tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hamas kecewa dengan cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) kerana tiada sebarang jaminan untuk menamatkan perang di Gaza, walaupun kumpulan itu sudah memberi maklum balas rasmi terhadap usaha tersebut.

Menurut pegawai kanan Hamas, Basem Naim, kumpulannya tetap memberikan respons positif terhadap cadangan terbaharu yang disampaikan oleh utusan khas AS, Steve Witkoff.

Beliau berkata, cadangan terbaharu yang dikemukakan amat berat sebelah dan lebih memihak kepada Israel, berbeza sama sekali daripada versi yang sudah dipersetujui bersama Witkoff sebelum ini.

IKUT TELUNJUK ISRAEL

Hamas sejak sekian lama menegaskan pendirian mereka bahawa sebarang perjanjian harus merangkumi jalan ke arah penamatan perang secara kekal.

“Kami bukan menolak sepenuhnya cadangan Witkoff.

“Minggu lalu, kami sudah mencapai persetujuan dan persefahaman dengan beliau mengenai satu cadangan, yang beliau sendiri anggap boleh diterima sebagai asas untuk rundingan.

“Namun apabila beliau kembali daripada rundingan dengan pihak Israel, beliau membawa cadangan baharu yang langsung tidak sama dengan yang sudah kami persetujui. Kami diberikan respons daripada pihak Israel yang menolak semua ketetapan yang sudah kami persetujui.

“Kami tidak berpuas hati mengapa setiap kali respon Israel dianggap satu-satunya asas untuk rundingan? Ini mencabuli keutuhan dan keadilan proses pengantaraan serta menunjukkan mereka jelas lebih berpihak sepenuhnya kepada rejim itu,” tegas Basem.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Sabtu, Hamas menyatakan mereka sudah mengemukakan usul balas kepada Witkoff.

Usul itu bertujuan mencapai gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara berterusan.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Hamas turut menawarkan untuk membebaskan 10 tebusan Israel yang masih hidup dan 18 mayat tawanan sebagai pertukaran dengan bilangan tahanan Palestin yang sudah dipersetujui bersama.

KERANGKA CADANGAN ASAS RUNDINGAN

Namun, Witkoff menyifatkan maklum balas Hamas itu sebagai respon yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Hamas sepatutnya menerima kerangka cadangan yang kami kemukakan sebagai asas untuk rundingan jarak dekat, yang boleh dimulakan minggu hadapan.

“Hanya dengan cara itu kita boleh melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari dalam masa terdekat, termasuk kepulangan separuh daripada tebusan yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia,” katanya di laman X.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut menolak usul terbaharu Hamas malah, menegaskan keperluan untuk memusnahkan kumpulan pejuang Palestin itu atas alasan untuk mengelakkan serangan yang boleh mencetuskan perang.

“Walaupun Israel sudah bersetuju dengan kerangka terkini Witkoff bagi pembebasan tebusan kami, Hamas masih berpegang kepada sikap penolakannya. Maklum balas Hamas tidak boleh diterima dan menjejaskan proses yang sedang berjalan.

“Israel akan terus berusaha untuk membawa pulang tebusan kami dan menewaskan Hamas,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

Satu kejayaan dalam rundingan masih sukar dicapai sejak gencatan senjata terdahulu runtuh pada 18 Mac apabila operasi Israel disambung semula.

Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat lalu mendakwa beliau yakin pihak-pihak yang terlibat sudah sangat hampir kepada satu perjanjian.

Dua sumber yang dekat dengan rundingan memaklumkan cadangan Witkoff melibatkan gencatan senjata selama 60 hari, yang berpotensi dilanjutkan kepada 70 hari.

CADANGAN BERAT SEBELAH

Lapor CNN, cadangan yang disokong AS dan dipersetujui oleh Israel itu merangkumi pembebasan 10 tebusan Israel yang masih hidup dan 18 mayat tebusan oleh Hamas sebagai pertukaran bagi 125 tahanan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 1,111 penduduk Gaza yang ditahan sejak perang bermula.

Ia akan dilaksanakan melalui pembebasan lima tebusan yang masih hidup dan sembilan mayat sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin pada minggu pertama, diikuti dengan pertukaran kedua pada minggu berikutnya.

Rundingan ke arah gencatan senjata kekal akan bermula serta-merta pada hari pertama gencatan senjata selama 60 hari.

Terma perjanjian itu juga membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza dengan segera dan diagihkan melalui saluran yang dipersetujui, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bulan Sabit Merah.

Namun, draf perjanjian tersebut tidak mengandungi jaminan jelas tentang penamatan perang secara kekal yang merupakan tuntutan utama Hamas dan juga tiada kepastian bahawa gencatan senjata akan dilanjutkan selagi rundingan masih berlangsung.

Sebaliknya, dokumen itu menyatakan Trump komited untuk memastikan rundingan dijalankan secara ikhlas sehingga perjanjian muktamad dicapai.

Sekatan Israel selama 11 minggu ke atas bantuan kemanusiaan menyebabkan Gaza kini disifatkan sebagai tempat paling penuh kebuluran di dunia.

Walaupun sekatan dilonggarkan minggu lalu, kebanyakan bantuan yang masuk ke Gaza dirompak, dan beberapa orang terbunuh apabila kekacauan berlaku berhampiran lokasi pengagihan bantuan.

Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong oleh AS dan Israel juga turut meneruskan usaha kontroversinya walaupun mendapat kecaman antarabangsa dengan beberapa individu dilaporkan hilang selepas pergi ke lokasi pengagihan bantuannya.

Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), sebanyak 80 buah trak bantuan yang melalui kawasan selatan dan tengah Gaza dirompak oleh penduduk yang terdesak pada Sabtu.

“Trak membawa tepung sudah masuk ke Gaza, namun semuanya telah diserbu oleh orang ramai yang kelaparan dan mahu menyelamatkan keluarga mereka.

“Selepas 80 hari disekat sepenuhnya, komuniti di Gaza sedang kebuluran dan mereka tidak lagi sanggup melihat makanan berlalu di depan mata tanpa membawa pulang apa-apa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×