DHAKA: Mahkamah Tertinggi Bangladesh mengiktiraf semula pendaftaran Jamaat-e-Islami, sekali gus membenarkan parti Islam terbesar negara itu kembali menyertai pilihan raya selepas lebih sedekad disekat oleh kerajaan terdahulu.
Mahkamah tersebut membatalkan keputusan menyekat pendaftaran Jamaat-e-Islami, membolehkan parti itu secara rasmi disenaraikan semula sebagai parti politik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Suruhanjaya Pilihan Raya diarahkan untuk menguruskan semula pendaftaran parti itu mengikut undang-undang,” kata peguam Suruhanjaya Pilihan Raya, Towhidul Islam kepada AFP.
Peguam parti Jamaat-e-Islami, Shishir Monir berkata, keputusan itu membuka ruang kepada satu sistem yang lebih demokratik, inklusif dan berbilang parti di negara majoriti Islam, yang mempunyai 170 juta penduduk itu.
“Kami berharap rakyat Bangladesh, tanpa mengira etnik atau agama akan mengundi Jamaat-e-Islami dan Parlimen akan kembali meriah dengan perbahasan yang membina,” katanya kepada wartawan.
Selepas Presiden Parti Liga Awami, Sheikh Hasina digulingkan sebagai Perdana Menteri pada Ogos lalu, parti Jamaat-e-Islami memfailkan rayuan untuk menyemak semula perintah larangan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2013.
Keputusan Mahkamah Tertinggi ini turut menyusul selepas mahkamah pada 27 Mei membatalkan sabitan terhadap seorang pemimpin kanan Jamaat-e-Islami, Azharul Islam.
Azharul sebelum ini dijatuhi hukuman mati pada tahun 2014 atas kesalahan merogol, membunuh dan melakukan genosid semasa perang kemerdekaan Bangladesh dari Pakistan pada tahun 1971.
Semasa pemerintahannya, Hasina mengharamkan Jamaat-e-Islami dan menahan ramai pemimpinnya.
Pada Mei lalu, kerajaan sementara Bangladesh turut mengharamkan parti Liga Awami, sementara menunggu keputusan perbicaraan berkaitan tindakan keras Hasina terhadap protes besar-besaran yang akhirnya menyebabkan kejatuhan beliau.- AFP










