Mahkamah sekat larangan Trump daftar pelajar antarabangsa di Harvard

Mahkamah sekat larangan Trump daftar pelajar antarabangsa di Harvard

KAMPUS Universiti Harvard di Boston, Massachusetts. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan di Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk melanjut perintah sementara yang menghalang pentadbiran Presiden Donald Trump daripada menarik balik kelayakan Universiti Harvard mendaftarkan pelajar antarabangsa.

Keputusan itu disifatkan sebagai kemenangan buat universiti terkemuka tersebut, yang kini berdepan pelbagai tekanan daripada pentadbiran Trump.

Hakim Daerah AS, Allison Burroughs di Boston, mengumumkan hasratnya mengeluarkan injunksi awal, enam hari selepas beliau pertama kali memberikan perintah sementara kepada Harvard bagi menghalang tindakan itu.

Ketika perbicaraan berlangsung kelmarin, ribuan pelajar Universiti Harvard menerima ijazah mereka dalam majlis graduasi di kampus, yang terletak kira-kira lapan kilometer (km) dari mahkamah.

Pentadbiran Trump melancarkan tekanan dari pelbagai sudut terhadap universiti tertua dan terkaya di negara itu, termasuk pembekuan geran penyelidikan bernilai bilion dolar, ancaman penamatan status pengecualian cukai dan siasatan berhubung dakwaan diskriminasi terhadap golongan tertentu.

Harvard dalam hujahnya menegaskan, penarikan kelayakan untuk mendaftarkan pelajar antarabangsa akan membawa kesan besar dan merugikan.

Katanya, lebih satu perempat daripada keseluruhan pelajarnya terdiri daripada pelajar antarabangsa, termasuk hampir 60 peratus pelajar siswazah di Harvard Kennedy School.

Harvard menyifatkan langkah itu sebagai satu bentuk serangan balas terhadap kebebasan akademik, selain menuduh pentadbiran Trump campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran, kurikulum serta ideologi fakulti serta pelajarnya.

Universiti itu juga sedang mengemukakan satu lagi saman berasingan bagi mencabar keputusan pentadbiran untuk menamatkan hampir AS$3 bilion (RM12.7 bilion) dalam pembiayaan penyelidikan persekutuan.

VISA PELAJAR CHINA

Semasa perbicaraan, peguam Jabatan Kehakiman AS, Tiberius Davis, berhujah bahawa perintah mahkamah untuk menghalang tindakan pentadbiran Trump tidak lagi diperlukan, memandangkan Harvard boleh mencabarnya melalui proses pentadbiran.

Namun, Hakim Burroughs berkata, perintah mahkamah kekal perlu sehingga proses itu selesai, selain menyatakan keraguan bahawa hasilnya akan berbeza.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pihak pentadbiran mematuhi perintah sekatan sebelum ini, merujuk pengisytiharan yang dikemukakan Harvard pada Rabu menyatakan visa untuk pelajar baharu dibatalkan.

Burroughs berkata, perintah sedia ada itu akan kekal berkuat kuasa, sementara peguam dari kedua-dua pihak berunding mengenai terma injunksi.

Sementara itu, Setiausaha Negara, Marco Rubio turut mengumumkan visa pelajar dari China terutama yang mempunyai kaitan dengan Parti Komunis China akan mula dibatalkan secara agresif.

Lebih 275,000 pelajar dari China kini menuntut di ratusan kolej dan universiti di AS, menjadikan mereka antara penyumbang utama kepada pendapatan institusi pengajian tinggi tersebut dan sumber penting bakat dalam sektor teknologi.

Dalam pengumuman awal mengenai keputusan menarik balik pensijilan Harvard, Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Kristi Noem, menuduh universiti itu menggalakkan keganasan, antisemitisme dan bekerjasama dengan Parti Komunis China, tanpa mengemukakan sebarang bukti.

SOKONGAN PELAJAR

Presiden Harvard, Alan Garber, menerima sorakan gemuruh apabila beliau menyebut kehadiran pelajar antarabangsa yang bergraduasi bersama keluarga mereka pada Khamis.

Menurut seorang pelajar kepada AFP, tepukan untuk Garber semasa majlis graduasi itu mencerminkan rasa bangga dan sokongan daripada komuniti universiti.

PELAJAR bersorak semasa Hari Graduasi Harvard ke-374 di Harvard Yard di Cambridge, Massachusetts, kelmarin.– AFP

Graduan dari India, Uzma Farheen, yang menerima Ijazah Sarjana Kesihatan Awam menyifatkan majlis graduasi tersebut penuh dengan sokongan terhadap pelajar antarabangsa.

“Kami berdiri bersatu untuk menyokong perjuangan Harvard dari sudut kebenaran, integriti dan kebersamaan,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, seorang lagi graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam, Lorena Mejia, mendedahkan berada dalam keadaan sangat sukar sejak dua bulan kebelakangan ini.

“Saya berasa sangat terdedah dan terancam,” kata Mejia yang bangga memakai jubah menunjukkan identitinya sebagai rakyat Columbia.

Ramai pelajar dari Harvard Kennedy School of Government membawa glob plastik semasa majlis tersebut sebagai simbol kepada latar belakang antarabangsa di institusi itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×