WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan rundingan nuclear AS dengan Iran.
Trump berkata, tiada tindakan yang boleh merosakkan perjalanan rundingan tersebut yang disifatkan semakin ‘hampir kepada penyelesaian’.
“Saya beritahu beliau (Netanyahu) supaya jangan lakukan apa-apa tindakan yang boleh merosakkan rundingan nuklear itu.
“Sebarang tindakan yang tidak wajar akan merosakkan semuanya,” katanya kepada media di Pejabat Oval di Rumah Putih.
Israel sebelum ini menafikan laporan New York Times mengenai ancaman Netanyahu untuk ‘menjejaskan’ rundingan nuklear antara Washington dengan Teheran dengan menyerang pusat pengayaan uranium Iran.
Barisan kepemimpinan Israel bimbang Trump akan membiarkan Iran meningkatkan program nuklearnya demi mencapai perjanjian dengan negara berkenaan.
Israel bimbang Iran akan melancarkan serangan ke negara haram itu selepas program nuklearnya ‘direstui’ AS.
Namun, pejabat Netanyahu menafikan laporan berita berkenaan dan menyifatkannya sebagai maklumat palsu.











