Israel lulus 22 lagi penempatan haram Yahudi di Tebing Barat - Utusan Malaysia

Israel lulus 22 lagi penempatan haram Yahudi di Tebing Barat

ISRAEL tidak mempunyai perancangan untuk berhenti membina penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Israel meluluskan 22 lagi penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, langkah yang dijangka menambah ketegangan dengan sekutu-sekutu tertentu yang sebelum ini mengancam mengenakan sekatan.

Menteri Kewangannya Israel, Bezalel Smotrich, seorang tokoh ultra-nasionalis yang menyokong kedaulatan penuh Israel ke atas Tebing Barat, menulis di platform X semalam, berkata penempatan itu akan dibina di utara Tebing Barat tanpa memperincikan lokasi spesifik.

Media Israel memetik kenyataan Kementerian Pertahanan bahawa penempatan baharu itu termasuk pengiktirafan sah terhadap ‘pos-pos haram’ sedia ada serta pembinaan penempatan baharu.

Jurucakap kepada Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas apabila diminta mengulas mengenai pengumuman itu.

Pihak Berkuasa Palestin yang disokong Barat dan mempunyai kuasa terhad di Tebing Barat, bersama kumpulan pejuang Hamas yang berpangkalan di Gaza, mengecam keputusan Israel itu.

Jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh menyifatkan keputusan itu sebagai ‘tindakan provokatif yang berbahaya’ dan menuduh Israel terus menyeret rantau itu ke dalam ‘kitaran keganasan dan ketidakstabilan’.

“Kerajaan pelampau Israel ini sedang berusaha sedaya upaya menghalang penubuhan negara Palestin yang merdeka,” katanya kepada Reuters sambil menggesa campur tangan segera daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Bagi rakyat Palestin, peluasan penempatan haram Yahudi dianggap sebagai halangan utama kepada usaha menubuhkan negara Palestin merdeka yang merangkumi Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Bilangan negara Eropah yang menggesa Israel menamatkan perang di Gaza semakin bertambah. Pada masa sama, Britain, Perancis dan Kanada pada bulan ini turut memberi amaran kepada Israel mereka mungkin mengenakan sekatan bersasar sekiranya Israel meneruskan peluasan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Menteri Britain bagi Asia Barat, Hamish Falconer mengecam kelulusan penempatan baharu oleh Israel, sambil menyifatkannya sebagai ‘halangan sengaja terhadap penubuhan negara Palestin’.

“Penempatan haram bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, menggagalkan penyelesaian dua negara, dan tidak menjamin keselamatan Israel,” katanya di platform X.

Majoriti masyarakat antarabangsa menganggap penempatan Israel sebagai haram di sisi undang-undang antarabangsa, namun Israel menganggap penempatan itu sah dari sudut undang-undang domestiknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×