PETALING JAYA: Weststar Group memperkukuh kerjasama strategik dengan kerajaan Timor-Leste dalam sektor penerbangan dan tenaga ketika lawatan Perdana Menteri republik itu, Kay Rala Xanana Gusmão ke ibu pejabat mereka.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Francisco Kalbuadi Lay, Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama, Bendito dos Santos Freitas serta Speaker Parlimen Nasional, Maria Fernanda Lay.
Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Seri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim berkata, hubungan syarikat itu dengan Timor-Leste bermula sejak 2014 menerusi pembekalan 10 unit kenderaan General Service Cargo (GS Cargo) kepada Angkatan Pertahanan negara berkenaan.
“Tahun ini, Weststar meluaskan operasinya ke sokongan penerbangan sayap berputar melalui penempatan dua helikopter AW189 di Dili yang beroperasi di bawah kontrak bersama syarikat tenaga, Santos di medan Bayu Undan.
“Weststar kini turut bekerjasama dengan Timor GAP untuk mengembangkan lagi kehadirannya di negara itu melalui pengenalan armada helikopter AW139 bagi menyokong operasi utiliti, perkhidmatan VIP dan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS).
“Setakat ini, dua misi EMS telah dilaksanakan di Timor-Leste termasuk penghormatan membawa jenazah mendiang Padre Domingos Maubere, pemimpin rohani yang disanjungi di negara tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kehadiran Weststar Aviation Services di Timor-Leste juga adalah sebahagian daripada visi strategik memperkukuh kehadiran di Asia Tenggara dengan menekankan aspek keselamatan, kecemerlangan perkhidmatan dan pertumbuhan mampan dalam sektor penerbangan tenaga dan kerajaan.
“Ini bukan sekadar hubungan perniagaan tetapi perjalanan bersama yang berlandaskan hormat dan aspirasi kolektif untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Dalam lawatan itu, Weststar turut menyatakan sokongan terhadap hasrat Timor-Leste untuk menyertai ASEAN secara rasmi dalam masa terdekat.
“Kami menantikan penyertaan penuh Timor-Leste sebagai anggota ASEAN. Weststar sedia membantu fasa peralihan ini melalui sumbangan kepada pembangunan infrastruktur dan modal insan serantau,” ujarnya. – UTUSAN







