Cklamovski tuntut Harimau Malaya pamer aura menang

Cklamovski tuntut Harimau Malaya pamer aura menang

Peter Cklamovski (tiga dari kiri) bersama rakan setugas dari Cape Verde, Pedro Brito pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Paulo Josue (kanan) dan pemain Cape Verde, Ryan Mendes. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski mahu barisan pemainnya turun dengan mentaliti meraih kemenangan biarpun berdepan pasukan di ranking lebih baik.

Anak-anak buah Cklamovski akan berdepan Cape Verde yang berada di ranking ke-72 dunia dalam aksi persahabatan Tier 1 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) malam ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Cklamovski juga juga mengakui Harimau Malaya perlu menyelesaikan misi berdepan Cape Verde dalam dua aksi persahabatan terlebih dahulu sebelum mengalihkan tumpuan kepada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, 10 Jun ini.

Tegas pengendali kelahiran Australia itu, mereka menghormati Cape Verde, sekali gus akan menurunkan barisan terbaik termasuk pada perlawanan kedua yang berlangsung di Stadium Naisonal Bukit Jalil pada 3 Jun nanti.

“Perlawanan menentang Vietnam masih jauh lagi tetapi ini (aksi menentang Cape Verde) adalah satu persiapan yang besar untuk perlawanan itu. Apa yang penting ialah bola sepak adalah satu perlawanan yang unik dan kita perlu menghormati semua lawan kita.

“Kita perlu memberikan persembahan berpasukan yang terbaik dan turun dengan mentaliti yang kuat tanpa mengira siapa pun lawan kita. Perkara seperti ini yang akan menghubungkan kita sebagai satu pasukan.

“Siapa pun yang akan bermain nanti, 11 pemain di atas padang akan tunjukkan apa maknanya bermain untuk Malaysia. Ini satu perlawanan yang menarik menentang pasukan yang baik,” kata Cklamovski pada sidang akhbar pra perlawanan, semalam.

Dalam perkembangan sama, Cklamovski menjelaskan aksi menentang Cape Verde perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana Cape Verde memiliki corak permainan yang hampir sama dengan Vietnam sekali gus bakal membantu persiapan skuad negara.

“Kita akan gunakan perlawanan ini sebaik mungkin walaupun kita tahu ini adalah satu cabaran yang besar. Cape Verde dan Vietnam hampir serupa dari segi fizikal, kekuatan, kepantasan dan corak permainan yang ‘direct’.

“Jadi, menarik untuk kita saksikan bagaimana kita boleh mendapatkan sesuatu daripada perlawanan ini. Perlawanan menentang pasukan yang kuat seperti ini akan membantu perkembangan kita sebagai sebuah pasukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×