MALAYSIA satu ketika dahulu pernah digelar Harimau Asia berikutan prestasi ekonominya yang memberangsangkan dan kepimpinan negara dihormati di peringkat dunia.
Setelah melalui pelbagai cabaran ekonomi dan pasang surut politik di dalam negara dan luar, Malaysia kembali menunjukkan kekuatannya dengan memperkukuh hubungan diplomatik, menangani isu serantau seperti konflik Laut China Selatan, serta menyuarakan isu-isu kemanusiaan seperti penderitaan rakyat Palestin, Rohingya dan negara-negara tertindas.
Dari sudut ekonomi, Malaysia menunjukkan tanda-tanda pemulihan pasca pandemik dengan kestabilan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan aliran pelaburan asing dan pemerkasaan sektor teknologi serta peralihan kepada ekonomi hijau. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk mentransformasikan ekonomi negara ke arah lebih mampan dan berdaya tahan.
Kemampanan ekonomi bukan semata-mata membangunkan kehidupan material rakyat tetapi membentuk sikap bekerjasama dalam pembangunan ekonomi. Paling penting keupayaan kerajaan membantu rakyat untuk hidup dalam keadaan sejahtera serta penuh kedamaian.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berupaya memimpin integrasi ekonomi serantau, termasuk memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan memperluas jaringan perdagangan bebas. Keupayaan Malaysia untuk menjadi jambatan antara negara-negara ASEAN dan ekonomi besar dunia seperti China, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU) menjadikan kedudukannya strategik dan dihormati.
Malaysia juga berperanan penting dalam mengangkat nilai perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat ASEAN. Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama yang telah lama mengamalkan toleransi serta kepelbagaian budaya, Malaysia menjadi contoh dalam menangani ekstremisme, menyemai nilai inklusif mahupun menjunjung hak asasi manusia.
Dengan kegagalan negara-negara besar menangani isu keganasan ini, Malaysia mampu memberi jalan keluar memimpin negara mengatasi segala isu merosakkan struktur masyarakat dan menolak sebarang ketidakadikan yang merugikan.
Melalui peranan kepengerusian ini, Malaysia boleh mendorong ASEAN untuk memperkukuh identiti serantau, melindungi minoriti, memperkasakan belia dan memajukan pendidikan.
Semua ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, kemampanan dan nilai-nilai kemanusiaan.
Gelaran Harimau Asia bukan semata-mata berdasarkan pencapaian ekonomi tetapi juga pada kekuatan institusi, kepimpinan berwibawa, konsisten dari segin dasar dan peranan global yang bermakna.
Kini, Malaysia kembali menunjukkan semua ciri ini. Dengan sistem kewangan kukuh, perkembangan pesat sektor teknologi, persekitaran pelaburan yang menarik dan kestabilan politik, Malaysia bukan sahaja mengejar status Harimau Asia, malah sedang membentuk versi baharu lebih matang dan lestari.
Peranan Malaysia dalam ASEAN, ditambah dengan kemampuan memimpin isu-isu global seperti perubahan iklim, ketahanan makanan dan diplomasi kemanusiaan, menjadikan negara ini semakin dikenali sebagai kuasa sederhana yang berprinsip.
Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 bukan sekadar giliran pentadbiran tetapi merupakan manifestasi kepercayaan serantau terhadap kebolehan negara ini memimpin dan memberi arah kepada Asia Tenggara.
Ini menandakan Malaysia sedang menapak kembali ke landasan kuasa berpengaruh, bukan sahaja daripada sudut ekonomi tetapi juga dalam aspek kepimpinan, diplomasi dan kemanusiaan.
Gelaran Harimau Asia bukanlah angan-angan kosong, tetapi kini menjadi cerminan realiti baharu Malaysia yang lebih bersedia, berwibawa dan berdaya saing.-UTUSAN
HASRI HARUN
Pensyarah Kanan, Universiti Selangor (Unisel)










