SUDAH tiba masanya kita berani berdepan dengan ‘rantaian tanggungjawab’ yang diketepikan. Insiden Putra Heights bukan sekadar mendedahkan persoalan paip gas, malah ia membuka isu kelemahan dalam perancangan bandar, kelulusan tanah, zon keselamatan dan akauntabiliti antara agensi.
Ini bukan isu kejuruteraan semata-mata. Ia adalah isu dasar, penguatkuasaan dan tadbir urus. Kita tidak boleh anggap tragedi sebegini sebagai insiden terpencil.
Pada pendapat saya, ia sebenarnya kesan yang timbul daripada kegagalan, satu akibat dari kecuaian yang lama tersembunyi.
Insiden ini sepatutnya menjadi pemangkin kepada semakan semula bagaimana agensi perancang, pihak berkuasa tempatan (PBT), negeri dan persekutuan berfungsi dalam melindungi infrastruktur penting negara.
Sebagai generasi yang akan mewarisi dasar dan keputusan hari ini, saya bimbang berapa banyak lagi rantaian tanggungjawab yang diambil mudah di seluruh negara, termasuk di sekitar paip gas, empangan, koridor utiliti atau kawasan risiko tinggi lain?
Kita tidak mampu lagi bersikap reaktif. Langkah pencegahan mungkin dianggap sebagai menyusahkan pembangunan, namun pencegahan inilah bakal menghindar kehilangan harta benda serta nyawa.
Isu ini bukan hanya tentang Putra Heights. Ia seharusnya menjadi pengajaran menyeluruh tentang membina kepercayaan dan kredibiliti, di antara sistem dan masyarakat.
Kepercayaan itu hanya akan wujud dan diperkukuhkan sekiranya tanggungjawab jelas, ketelusan dan akauntabiliti dikongsi bersama, bukan hanya oleh ‘operator’, tetapi juga perancang, pemaju dan penggubal dasar.
Jangan biarkan tragedi ini sekadar menjadi satu lagi tajuk berita yang dilupakan apabila api padam dan liputan reda. Ia harus dijadikan pengajaran dan satu realiti agar kita semua membuka mata dengan jelas dan tegas, menyampaikan mesej serta keselamatan awam tidak boleh diambil ringan disebabkan kelalaian atau kegagalan dalam pengawasan mahupun kawalan pembangunan.-UTUSAN
ANAK TERENGGANU DI SELANGOR
Selangor










