RIYADH: Sumber Arab Saudi menafikan laporan beberapa media asing berhubung negara itu merancang untuk melesenkan penjualan arak bermula tahun depan.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, laporan tersebut tidak mempunyai sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan dan mencerminkan dasar atau peraturan sedia ada di Arab Saudi.
Sumber memberitahu Arab News, Arab Saudi, di bawah visi untuk membangunkan sektor pelancongan, kekal komited menawarkan pengalaman unil dan kaya dengan nilai budaya.
Pendekatan itu diterima baik oleh pelawat antarabangsa yang datang untuk menerokai warisan dan kepelbagaian alam semula jadi di negara tersebut.
Mengenai peraturan alkohol untuk diplomat bukan Islam, sumber menjelaskan, Arab Saudi memperkenal rangka kerja baharu yang bertujuan menghalang penggunaan penghantaran diplomatik tanpa kebenaran.
Di bawah langkah baharu itu, kedutaan negara bukan Islam tidak lagi dibenarkan mengimport alkohol dan barangan tertentu lain dalam penghantaran diplomatik.
Bagaimanapun, akses terkawal kepada barangan tersebut masih dibenarkan tertakluk kepada garis panduan ketat untuk mengelakkan penyalahgunaan.
Sebelum ini, Arab Saudi dilaporkan bakal melaksanakan perubahan dasar yang mengejutkan apabila mengumumkan langkah membenarkan penjualan minuman keras seperti wain, bir dan cider di 600 lokasi pelancongan terpilih menjelang tahun 2026.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha besar-besaran Putera Mahkota, Mohammad bin Salman, menerusi inisiatif Vision 2030 bagi memperkukuh industri pelancongan, menarik pelaburan asing serta memperbaiki imej konservatif negara itu di mata dunia, khususnya menjelang penganjuran Piala Dunia FIFA 2034 dan Ekspo Dunia 2030.
Penjualan arak akan dibenarkan di premis berlesen seperti hotel bertaraf lima bintang, pusat peranginan mewah serta kawasan kediaman yang mesra ekspatriat namun, larangan terhadap arak berhampiran tempat awam, kediaman persendirian, kedai runcit serta zon peminat masih dikekalkan, manakala minuman keras dengan kandungan alkohol melebihi 20 peratus tidak dibenarkan sama sekali.











