Realisasikan sepenuhnya Komuniti Ekonomi ASEAN 2025

Realisasikan sepenuhnya Komuniti Ekonomi ASEAN 2025

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-46 menjadi medan merangka hala tuju, memperkukuh kerjasama sedia ada termasuk membuat keputusan secara kolektif bagi memastikan matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 dapat direalisasikan sepenuhnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-46, yang berakhir semalam menjadi platform penting dan strategik bagi kemajuan rantau Asia Tenggara.

Ia menjadi medan utama untuk merangka hala tuju, memperkukuh kerjasama sedia ada dan yang paling penting, membuat keputusan secara kolektif bagi memastikan matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 dapat direalisasikan sepenuhnya.

Matlamat tersebut boleh dicapai melalui tiga tindakan utama. Pertama, pemimpin merangka strategi dengan menetapkan pelan tindakan terperinci dan spesifik, menyesuaikannya dengan perkembangan semasa atau memperkenalkan inisiatif baharu untuk mengatasi cabaran.

Kedua, usaha ditumpukan untuk memperkukuh kerjasama dengan meningkatkan sinergi dan kerjasama ekonomi antara negara anggota, termasuk memperdalam integrasi sektoral, melancarkan perdagangan dan pelaburan serta berkongsi amalan terbaik.

Ketiga, membuat keputusan kolektif, yang mana pemimpin mencapai kata sepakat mengenai isu-isu penting dan komitmen bersama. Keputusan ini akan memandu tindakan nasional dan serantau, memastikan ASEAN bergerak seiring ke arah komuniti ekonomi bersepadu, berdaya saing dan makmur, seterusnya memacu agenda AEC 2025 ke tahap pelaksanaan yang lebih mantap.

Malaysia memfokuskan usahanya di bawah tema utama Inklusiviti dan Kelestarian melalui tiga agenda strategik yang penting. Pertama, Malaysia akan berusaha gigih untuk memupuk keamanan dan keselamatan serantau. Ini akan dicapai dengan mengutamakan dialog, diplomasi dan semangat muhibah sebagai landasan utama bagi membina kepercayaan strategik yang lebih kukuh dalam kalangan negara anggota, seterusnya memastikan kestabilan rantau ini.

Kedua, Malaysia berhasrat memacu integrasi ekonomi ASEAN dengan lebih dinamik. Tumpuan diberikan kepada pemanfaatan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemangkin pertumbuhan mampan, yang akan mendorong kemajuan ekonomi secara kolektif serta saksama di seluruh rantau.

Ketiga, Malaysia akan memperjuangkan prinsip inklusiviti dan kelestarian secara menyeluruh. Ini melibatkan usaha untuk merapatkan jurang pembangunan yang wujud antara negara-negara anggota serta menangani cabaran-cabaran mendesak seperti perubahan iklim melalui tindakan bersama dan bersepadu.

Pelancaran Visi Komuniti ASEAN 2045 merupakan pelan tindakan jangka panjang yang komprehensif dan akan menjadi panduan utama dalam membentuk hala tuju serta evolusi ASEAN untuk tempoh dua dekad akan datang, memastikan kesinambungan kemajuan selain kerelevanan ASEAN di persada global.

Pelan Tindakan AEC 2025 memegang peranan penting dalam membentuk masa hadapan ekonomi rantau Asia Tenggara. Kepentingannya dapat dilihat melalui tiga matlamat utama yang saling melengkapi.

Pertama, AEC 2025 bermatlamat untuk mewujudkan ekonomi yang sangat bersepadu dan padu. Ini bermakna kita membayangkan sebuah rantau dengan barangan, perkhidmatan, pelaburan, modal dan tenaga mahir dapat bergerak bebas serta lancar merentasi sempadan negara-negara ASEAN. Keadaan ini akan membuka peluang perdagangan dan pelaburan yang lebih luas serta meningkatkan kecekapan ekonomi serantau.

Kedua, AEC 2025 berusaha untuk menjadikan ASEAN sebagai sebuah rantau yang berdaya saing, inovatif dan dinamik. Matlamat ini menekankan keperluan untuk ASEAN sentiasa menghasilkan idea-idea baharu, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan serta mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan untuk berkembang sekali gus bersaing secara sihat, bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga di persada global. Ini akan memastikan ASEAN kekal relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dunia yang pantas.

Ketiga, AEC 2025 memberi tumpuan kepada kesalinghubungan dan kerjasama sektoral yang dipertingkatkan. Ini merangkumi usaha untuk membangunkan infrastruktur yang lebih baik, sama ada fizikal seperti rangkaian pengangkutan dan digital seperti kesalinghubungan internet serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi utama. Dengan kesalinghubungan dan kerjasama yang lebih erat, ASEAN dapat memaksimumkan potensi setiap sektor serta memacu pertumbuhan ekonomi secara lebih menyeluruh lagi mampan.

 

EMPAT TONGGAK AEC
AEC diilhamkan pada 2003, berdiri teguh di atas empat tonggak utama yang saling berkaitan, membentuk asas integrasi ekonomi serantau yang kukuh dan dinamik.

Pertama, sebagai pasaran dan pangkalan pengeluaran tunggal. AEC memudahkan perdagangan, pelaburan dan perkongsian pengeluaran merentasi sempadan, mewujudkan kawasan ekonomi yang lebih besar serta cekap. Ini membolehkan syarikat memanfaatkan kelebihan setiap negara.

Kedua, AEC berusaha menjadi rantau ekonomi yang sangat berdaya saing. Ini dicapai dengan memupuk persekitaran perniagaan yang sihat, menggalakkan inovasi dan produktiviti serta memastikan syarikat ASEAN mampu bersaing di peringkat global.

Ketiga, AEC komited kepada rantau pembangunan ekonomi yang saksama. Usaha ditumpukan untuk memastikan semua negara anggota meraih manfaat integrasi, termasuk merapatkan jurang pembangunan dan pertumbuhan inklusif.

Keempat, AEC bermatlamat menjadi rantau yang bersepadu sepenuhnya dengan ekonomi global. Ini melibatkan integrasi dalaman dan hubungan aktif dengan pasaran dunia melalui perjanjian perdagangan bebas, penyertaan dalam forum antarabangsa, promosi perdagangan serta pelaburan.

INISIATIF GRID TENAGA ASEAN
Inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) menonjolkan semangat kerjasama dan kesalinghubungan dalam AEC 2025, dengan Malaysia memainkan peranan penting.

APG bermatlamat untuk mengintegrasikan sistem grid elektrik serantau, meningkatkan keselamatan, kebolehcapaian dankemampuan tenaga bagi semua negara anggota.

Malaysia melalui kedudukan strategik dan komitmennya secara proaktif terlibat dalam pembangunan APG.

Malaysia memeterai perjanjian melibatkan projek APG dengan Vietnam dan Singapura pada 26 Mei lalu yang disifatkan sebagai kerjasama penting di rantau ini. Ia melibatkan talian penghantaran daratan dan kabel bawah tanah selain bekalan tenaga boleh baharu (TBB).

Kejayaan APG akan menjadi penanda aras penting bagi AEC 2025, mendemonstrasikan bagaimana integrasi ekonomi dan kerjasama sektoral dapat menghasilkan faedah sosioekonomi yang substantif.

Selain meningkatkan kecekapan ekonomi, APG berpotensi menyumbang kepada pembangunan mampan melalui promosi TBB dan kecekapan tenaga.-UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×