PBAKL'25: Buku Ilmiah Islam dari Indonesia dapat sambutan

PBAKL’25: Buku Ilmiah Islam dari Indonesia dapat sambutan

MULDANI Dwi Badrianto (kiri) dan Iwan Tholib mempamerkan karya-karya utama yang menjadi tumpuan pengunjung pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025. - UTUSAN/NURUL NATASHA SURIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Buku ilmiah dan kajian Islamik dari Indonesia mendapat sambutan pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.

Penerbit buku Pustaka Al-Kautsar, Iwan Tholib, 41, berkata, buku kajian Islam termasuk sirah, tafsir dan terjemahan kitab mendapat permintaan tinggi kerana pembaca Malaysia mempunyai kecenderungan terhadap bahan bersifat ilmiah dan mendalam.

“Ramai pelajar dan pensyarah datang bertanyakan buku-buku tertentu. Mereka tidak kisah jika bahan itu dalam bahasa Indonesia asalkan kandungannya berkualiti dan menjawab keperluan pengajian mereka.

“Ada pelajar Malaysia yang datang ke reruai kami dengan senarai buku yang sudah mereka sasarkan. Mereka memang sudah merancang awal untuk mendapatkan judul-judul tertentu daripada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Penerbit Gulalibooks, Muldani Dwi Badrianto, 34, pula berkata, PBAKL medan penting untuk syarikatnya yang fokus buku bayi dan kanak-kanak, memperkenalkan karya baharu kepada pasaran Malaysia.

“Kami masih baharu dan melihat minat masyarakat Malaysia tinggi terhadap literasi kanak-kanak. Namun, tetap buku kajian Islam yang mencatat permintaan tertinggi. Ini menunjukkan masyarakat di sini sangat menghargai ilmu,” katanya.

Menurutnya, perbezaan bahasa bukan halangan besar kerata berpendapat, pengunjung Malaysia rata-rata memahami Bahasa Indonesia tanpa kesukaran, apatah lagi isi kandungan buku-buku yang dipasarkan sarat nilai intelektual.

“Kami percaya bahasa serumpun ini memudahkan penyebaran ilmu. Buku-buku terbitan Indonesia sering dijadikan sumber oleh mahasiswa dan pensyarah Malaysia.

“Melalui buku, kita memperkukuh hubungan dua hala. Ini bukan soal jualan semata-mata, tetapi soal memperkenalkan pemikiran, sejarah dan ilmu yang dimiliki kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Iwan dan Muldani menyatakan keterujaan mereka terhadap kehadiran pengunjung yang ramai walaupun pada hari bekerja.

“Kami kagum dengan budaya membaca rakyat Malaysia. Golongan dewasa, keluarga dan pelajar datang tidak henti-henti sejak hari pertama. Ia mencerminkan minat yang mendalam terhadap ilmu dan buku,” katanya.

Kedua-dua penerbit turut menyatakan kesediaan menyertai PBAKL pada masa akan datang, dengan harapan lebih banyak buku ilmiah dan terjemahan karya besar Islam dapat diperkenalkan kepada khalayak Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×