GAZA: Kedai-kedai roti di selatan Gaza yang disokong oleh Program Makanan Sedunia (WFP) terpaksa menghentikan operasi pada Ahad, hanya tiga hari selepas kembali beroperasi secara terhad, ekoran kekurangan bekalan tepung yang amat kritikal.
Menurut laporan agensi berita Anadolu, kedai-kedai roti tersebut sebelum ini ditutup hampir dua bulan dan hanya dibenarkan beroperasi semula pada Khamis lalu bagi menyalurkan roti kepada penduduk Gaza yang sedang berdepan krisis kemanusiaan yang dahsyat.
Bagaimanapun, bekalan tepung yang dibenarkan masuk oleh rejim Zionis itu amat terhad dan segera kehabisan, sekali gus menyebabkan operasi kedai roti tersebut terhenti semula.
Ahmad al-Banna, pemilik salah sebuah kedai roti di selatan Gaza, berkata kepada Anadolu bahawa premisnya telah ditutup selama dua bulan sebelum ini.
“Kami hanya dapat beroperasi selama tiga hari selepas menerima sedikit bekalan tepung daripada Program Makanan Sedunia. Kini kami terpaksa tutup semula bekalan benar-benar telah habis,” katanya.
Menurut beliau, roti yang dihasilkan dalam tempoh tersebut telah diserahkan kepada pihak WFP untuk diedarkan kepada penduduk, namun jumlahnya terlalu kecil dan jauh daripada mencukupi.
“Gaza kini benar-benar berdepan kebuluran. Orang ramai mati kelaparan. Bantuan yang masuk terlalu sedikit dan tidak mampu menampung keperluan asas,” ujarnya penuh kecewa.
Beliau merayu masyarakat antarabangsa agar bertindak segera dan mendesak rejim Israel membuka pintu sempadan serta membenarkan penghantaran segera makanan dan tepung bagi menyelamatkan ratusan ribu keluarga yang sedang terancam nyawa.
Pada 6 April lalu, Program Makanan Sedunia mengumumkan penggantungan operasi di kesemua 25 kedai roti tajaan mereka di Gaza ekoran kekurangan bahan api dan tepung akibat sekatan yang semakin ketat serta penafian akses bantuan kemanusiaan oleh Israel.
Sekatan itu telah menjerumuskan Gaza ke dalam keadaan kebuluran, dengan semakin ramai dilaporkan mati akibat kelaparan.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel meneruskan serangan kejam ke atas Gaza, mengakibatkan lebih 53,900 rakyat Palestin terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak, walaupun berdepan desakan antarabangsa untuk gencatan senjata. -AGENSI











