PETALING JAYA: Atlet lontar peluru kebangsaan, Jonah Chang Rigan mensasarkan lontaran sejauh 19 meter (m) dalam penampilan sulungnya di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2025 di Korea Selatan bermula hari ini hingga 31 Mei ini.
Atlet berusia 22 tahun dari Sarikei, Sarawak itu berkata, sekiranya catatan tersebut berjaya dilakukan peluang untuk meraih pingat adalah cerah.
“Bagaimanapun, fokus saya lebih kepada untuk membuat lontaran 19 atau 20m. Bukan untuk mendapatkan pingat tetapi mahu mencari pengalaman kerana ini merupakan kali pertama saya menyertai kejohanan tersebut dan saya masih muda.
“Perlu diingatkan kejohanan ini disertai oleh negara-negara Asia jadi tahapnya lebih tinggi berbanding Sukan SEA.
“Berdasarkan catatan yang saya lakukan di Pahang (Kejohanan Super Siri Olahraga Terbuka), saya sudah pun berada dalam senarai kelayakan,” katanya.
Jonah memperbaharui rekod kebangsaan dengan balingan 18.46m di Kejohanan Super Siri Olahraga Terbuka, Pahang, Mei lalu sekali gus memadam 17.67m yang dilakukannya pada 2023.
Selepas menyertai kejohanan di Korea Selatan, Jonah berkata, dia akan mempersiapkan dirinya bagi menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember ini.
“Setakat ini, saya ada dua kejohanan besar yang bakal disertai pada tahun ini. Selain itu, saya juga akan menyertai kejohanan berskala kecil di dalam negeri bagi memantau prestasi dan pencapaian saya.
“Keadaan tubuh saya juga bebas daripada sebarang kecederaan dan saya perlu perbanyakkan lagi latihan dan tidak terlalu emosi ketika beraksi sebaliknya kekal fokus,” katanya.
Sebagai rekod, Jonah merangkul pingat emas di Kejohanan Trek dan Padang Queensland di Brisbane, Australia pada 15 Mac lalu dengan mencatat lontaran sejauh 17.11m. – UTUSAN










