KENDERAAN genre elektrik hibrid plug-in atau PHEV memang sering didengari, tetapi harganya lebih dari kemampuan ramai.
PHEV ialah kenderaan hibrid dengan bateri yang lebih besar dari kenderaan hibrid biasa, menjadikan ia mempunyai keupayaan bergerak dengan tenaga elektrik pada jarak yang lebih jauh.
Bateri yang besar juga bermakna ia memerlukan pengecas terbina di dalam agar kita boleh menggunakan bateri itu lebih kerap, lantas mengurangkan penggunaan bahan api.
Bila mula bergerak, ia boleh bersikap seperti kenderaan hibrid biasa, di mana tenaga dari bateri digunakan untuk membantu mengurangkan beban yang dipikul oleh enjin dan ini yang menjadi asas pengurangan penggunaan bahan api.
Dalam kes Jaecoo J7 PHEV ini pula, secara fizikal, ia sebenarnya sama seperti J7 biasa kecuali beberapa perubahan seperti roda aloi 19 inci dengan reka bentuk ‘aero’, pelekat dengan grafik tema perlumbaan di bahagian bawah pintu hadapan, bamper belakang yang tidak ada lagi corong ekzos palsu dan ‘emblem’ atau lencana PHEV di belakang.
Bahagian dalaman juga mungkin ada perbezaan warna dan bahan tetapi secara dasarnya, sama. Panel pintu yang nampak berbeza sedikit kerana ia lebih ringkas dan elegan.
Konsol tengah juga begitu kerana tidak ada tuil gear. Cuma ada sebaris suis di mana fungsi kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan elekrik hibrid (HEV) diletakkan.
Skrin sesentuh utama bersaiz 14.8 inci memang hampir sama besar dengan sebuah komputer riba. Fungsi Apple CarPlay nirwayar diberikan dan memang nampak cantik.
Sayangnya, skrin sesentuh yang besar sebenarnya akan menyebabkan jadi anda akan ‘merayau’ lagi jauh. Semasa berhenti, ini mudah tetapi bila sedang memandu, boleh bercelaru jadinya.
Skrin sesentuh ada saiz yang optimal kerana jika ia terlalu kecil, sukar untuk digunakan dan jika ia terlalu besar, jari terpaksa menjangkau jauh. Berapa saiz yang optimal, saya kira mungkin sembilan ke 10 inci?
J7 PHEV juga sarat dengan fungsi-fungsi keselamatan yang sentiasa hidup. Gerak seinci dan pasti akan ada bunyi-bunyi amaran kedengaran. Cara yang terbaik ialah sebelum kita bergerak, kita kaji dulu semua sistem tersebut dan tutup fungsi yang kita kurang gunakan.
Apa yang penting, fungsi-fungsi itu ada dan boleh digunakan jika perlu, terutama bila kita ada anak-anak yang baharu belajar memandu.
Sistem audio dari Sony dengan lapan pembesar suara memberikan kualiti audio yang sederhana. Mungkin talaan audio yang dipilih tidak menepati citarasa saya tetapi yang pasti, tidak ada sub-woofer untuk bunyi ‘bass’ yang padu.
Ruang but menakjubkan kerana walaupun dengan bateri yang besar, anda masih mempunyai ruang bagasi seluas 500 liter, lebih besar dari varian yang bukan hibrid.
Puncanya ialah tayar simpanan yang kini tidak diberikan dan diganti dengan kit tayar bocor.Jika ditanyakan kepada saya, biar ruang but kecil sedikit asalkan tidak sangkut di tepi jalan pukul 2 pagi kerana tayar bocor besar.
Menambahkan lagi ‘kecanggihan’ jentera ini ialah sistem pintu but yang boleh terbuka dengan hanya berdiri di belakang kenderaan – memudahkan bila kedua-dua tangan penuh dengan barang, menggelabah bila pintu but tiba-tiba terbuka bila kereta rapat dengan dinding.
Segi teknikal adalah perbezaan paling ketara varian J7 PHEV ini. Tidak seperti J7 milik jiran anda, PHEV ini menggunakan enjin 1.5 L turbo yang menghasilkan 141 hp dan 215 Nm.
Tak cukup dengan itu, bateri Blade LFP sebesar 18.3 kWh pula diberikan untuk memberikan tujahan tenaga 201 hp da 310 Nm dari elektrik motor yang disepadukan di dalam transmisinya.
Apa yang anda akan nikmati ialah jumlah tenaga yang dihasilkan dari Super Hybrid System ini, iaitu 347 PS dan 525 Nm! Daya kilas setinggi itu sering kita lihat pada kenderaan ratusan ribu dari Eropah sahaja!
Memandangkan ia sebuah PHEV, anda juga boleh bergerak dengan hanya tenaga elektrik sahaja pada jarak sejauh 106 kilometer (km) (mengikut piawaian NEDC).
Prestasi pecutan 0 hingga 100 kilometer sejak (kmsj) boleh dilakukan dalam 8.5 saat sementara halaju maksimum ialah 180 kmsj dan dalam masa yang sama J7 PHEV ini memberikan pulangan penjimatan bahan api sebanyak 4.77L/100km.
Ini bermakna secara teori, satu tangki bahan api petrol (60 liter) sepatutnya memberikan anda jarak gerak sejauh 1,300 km (jika mengikut kiraan WLTP, lebih kurang 1,105 km).
Sekiranya anda cuma menggunakan tenaga elektrik sahaja untuk ke pejabat dan ke sekolah anak dengan perjalanan 80 hingga 90 km pergi balik, ini bermakna bahan api di dalam tangki tidak perlu digunakan langsung!
Pengecas terbina untuk J7 PHEV pula ialah 40 kW untuk arus terus (DC) (30 ke 80 peratus dalam masa 20 minit) dan 6.6 kW untuk pengecas arus ulang alik (AC) (empat jam untuk penuh). Dengan saiz bateri sekecil itu, pengecas-pengecas yang diberikan ini memadai.
Waranti yang diberikan oleh Jaecoo juga sama seperti pengeluar yang lain, tujuh tahun atau 150,000 km untuk keseluruhan kenderaan dan lapan tahun atau 160,000 km untuk peralatan sistem hibrid termasuk bateri, motor elektrik dan kawalan bateri.
Jaecoo juga berkata waranti itu termasuk penukaran bateri LFP satu untuk satu jika keadaan bateri atau State of Heath (SOH) bateri itu turun di bawah paras 70 peratus dalam tempoh waranti.
Penerangan panjang berjela berkaitan dengan spesifikasi dan waranti dan pelbagai lagi hanya menandakan satu isu sahaja – pemanduan yang membosankan.
Sistem gantungan Jaecoo ini ditala khusus untuk keselesaan dan kelembutan, di mana segala jenis permukaan dilanda dengan baik. Bila pedal pendikit ditekan, tenaga masuk mencurah-curah hinggakan tayar berciut-ciut menunjukan terlalu banyak daya kilas dihamburkan keluar sekali gus.
Namun bila muncul selekoh pertama, imej tongkang karam atau ikan paus bunting terbaring di pantai mula muncul kerana olengan badan dirasakan terlalu ekstrem, memaksa saya menurunkan kelajuan dengan segera.
Ya, tenaga yang banyak ini bukan untuk prestasi pemanduan, tetapi untuk ‘merehatkan’ enjin pembakaran dalaman (ICE) agar penggunaan bahan api turun seminima yang mampu.
Cukup terkilan kerana hantaran tenaga yang cukup responsif tetapi disambut hambar oleh sistem gantungan yang lembut dan juga brek yang perlu diberikan saiz yang lebih afdal.
Selain dari itu, ia seperti J7 biasa dari segi ruang dan ciri-ciri operasi. Tidak ada yang ‘wow’ dan tidak ada teknologi baharu, kecuali jika kenderaan yang anda pandu sebelum ini adalah Perodua dan Proton generasi sebelum Geely.
Produk-produk dari China memungkinkan golongan marhaen atau orang kebanyakan dapat merasai aksesori dan teknologi yang sering ada dalam kenderaan T20 dan resipi ini cukup berjaya.
Ia juga secara tidak langsung mewujudkan penyokong baharu kepada negara China sendiri, dan ramai yang beranggapan China adalah ‘penyelamat’ negara.
Dengan harga RM158,800 atas jalan tidak termasuk insurans, Jaecoo J7 PHEV adalah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang cukup sesuai untuk mereka yang sering berjalan seharian kerana penjimatan bahan api itu memang terbukti!-UTUSAN










