Tidak tahan asakan dunia, Israel tukar strategi agih bantuan di Gaza

Tidak tahan asakan dunia, Israel tukar strategi agih bantuan di Gaza

PENDUDUK Palestin berkumpul mendapatkan makanan yang dimasak di pusat pengedaran amal di Jabalia, utara Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel mempertimbang pendekatan baharu untuk membenarkan kumpulan bantuan yang beroperasi di Gaza bagi mengendalikan bantuan bukan makanan.

Perubahan pendekatan itu dibuat ketika tekanan antarabangsa semakin memuncak untuk menyalurkan lebih banyak bantuan ke Gaza.

Bagaimanapun, menerusi kandungan surat yang diperoleh The Associated Press (AP), tanggungjawab pengagihan makanan akan diserahkan kepada sebuah kumpulan baharu yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS).

Perkembangan itu menunjukkan Israel mungkin berundur daripada rancangan untuk mengawal ketat semua bantuan ke Gaza dan menghalang agensi bantuan yang sudah lama beroperasi di wilayah tersebut daripada menghantar bantuan makanan seperti dilakukan sebelum ini.

KANDUNGAN SURAT

Surat bertarikh 22 Mei itu, adalah daripada Ketua Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), Jake Wood, yang diluluskan Israel dan ditujukan kepada COGAT, agensi ketenteraan rejim yang bertanggungjawab mengurus pemindahan bantuan ke wilayah tersebut.

Menurut surat itu, Israel dan GHF bersetuju untuk membenarkan bantuan kemanusiaan bukan makanan, termasuk bekalan perubatan, barangan kebersihan dan bahan perlindungan, untuk dikendalikan dan diagih melalui sistem sedia ada yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, GHF akan terus mengekalkan kawalan terhadap pengagihan makanan, walaupun akan wujud tempoh peralihan yang melibatkan kerjasama dengan kumpulan bantuan, menurut kandungan surat tersebut.

“GHF mengakui kami tidak mempunyai kapasiti teknikal atau infrastruktur lapangan untuk mengendalikan pengagihan secara sendiri, dan kami menyokong sepenuhnya peranan utama yang dimainkan pihak berpengalaman dalam bidang ini,” kata surat itu.

Jurucakap yayasan itu berkata, perjanjian dengan Israel dicapai selepas usaha advokasi berterusan.

Walaupun menyedari banyak kumpulan bantuan menentang rancangan itu, GHF menegaskan akan terus memperjuang peluasan bantuan ke Gaza dan memastikan kerja kumpulan bantuan dapat diteruskan.

SUMBER PEMBIAYAAN TIDAK JELAS

GHF, yang masih belum beroperasi sepenuhnya di Gaza, dikendalikan oleh kontraktor keselamatan, bekas pegawai tentera dan pegawai bantuan kemanusiaan, serta mendapat sokongan daripada Israel.

Kumpulan itu merancang untuk mengurus bantuan makanan, pada peringkat awal melalui beberapa pusat di selatan dan tengah Gaza, dengan bantuan kontraktor persendirian bersenjata yang akan mengawal proses pengagihan.

Beberapa lagi lokasi dijangka dibuka dalam masa sebulan, termasuk di utara Gaza.

Surat tersebut menyatakan, agensi bantuan akan terus menyediakan bantuan makanan secara selari dengan GHF sehingga sekurang-kurangnya lapan pusat pengagihan beroperasi sepenuhnya.

Bagaimanapun, kumpulan bantuan membantah rancangan GHF dan Israel untuk mengambil alih pengendalian bantuan makanan, kerana boleh menyebabkan pemindahan paksa penduduk

Palestin ke arah pusat pengagihan, selain ia tidak mempunyai keupayaan memenuhi keperluan rakyat di Gaza.

Sumber pembiayaan GHF juga masih tidak jelas.

Yayasan itu mendakwa menerima komitmen lebih AS$100 juta daripada kerajaan asing, namun tidak menamakan negara tersebut.

CAMPUR TANGAN ISRAEL

Surat tersebut menyatakan Wood mengadakan panggilan bersama ketua pegawai eksekutif enam kumpulan bantuan bagi membincangkan rancangan baharu itu.

Ini melibatkan Save the Children, International Medical Corps, Catholic Relief Services, Mercy Corps, CARE International dan Project HOPE.

Ketua Project HOPE, Rabih Torbay mengesahkan panggilan itu dan berkata pihaknya legas apabila dimaklumkan penghantaran ubat-ubatan serta barangan bukan makanan akan diteruskan di bawah sistem sedia ada.

Namun, Torbay turut menggesa supaya bantuan makanan dibenarkan masuk ke Gaza tanpa halangan atau dipolitikkan.

Jurucakap CARE International pula menyuarakan kebimbangan berkaitan cadangan GHF mengenai pengagihan makanan di pusat bantuan dan menegaskan kepentingan menggunakan mekanisme sedia ada di bawah PBB.

Katanya, mesyuarat tersebut memberi ruang untuk mengemukakan pelbagai soalan, namun kehadiran CARE bukan bermaksud ia menyokong inisiatif itu.

Sementara itu, jurucakap Timur Tengah untuk Majlis Pelarian Norway, Ahmed Bayram menegaskan Israel sebagai pihak terlibat dalam konflik, tidak sepatutnya mengawal pengagihan bantuan.

“Campur tangan Israel dalam sebahagian atau keseluruhan proses itu akan menjejaskan kebebasan dan berkecuali bantuan kemanusiaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×