KUALA LUMPUR: Malaysia berpendirian bahawa ASEAN perlu menangani isu-isu seperti perang dagang Amerika Syarikat (AS)-China, perubahan iklim dan penyalahgunaan teknologi, ditangani secara kolektif.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi sebelum ini, Malaysia sudah memberi peringatan bahawa persaingan kuasa besar dan perubahan dalam susunan dunia boleh mengganggu landskap rantau ini.
Katanya, hari ini, negara-negara ASEAN bukan saja terkesan dengan tarif oleh AS malah perang perdagangan AS-China telah mengganggu corak pengeluaran dan perdagangan global secara besar-besaran.
“Selain itu, kita juga berhadapan dengan kesan perubahan iklim dan gangguan teknologi yang semakin pantas. Suhu dan paras laut dunia meningkat, dan kecerdasan buatan berkembang lebih pantas berbanding tindak balas kerajaan.
“Populasi ASEAN mempunyai kadar penembusan internet yang tinggi juga terdedah kepada penyalahgunaan teknologi AI dan gangguan teknologi lain yang belum dikawal selia.
“Oleh itu, saya mengingatkan dengan penuh rasa mendesak akan perlunya kita menangani isu-isu ini secara kolektif. Kita mesti memainkan peranan aktif dalam mengharungi cabaran beberapa tahun mendatang,” katanya pada ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini, hari ini.
Justeru, beliau berkata, ASEAN mesti mengambil peluang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 untuk memperdalam integrasi ekonomi serantau agar dapat melindungi rantau ini daripada kejutan luaran dengan mengurangkan jurang pendapatan antara negara ahli adalah satu keutamaan.
Katanya, selain meningkatkan jumlah perdagangan intra-rantau, ASAN mesti terus menambah baik mekanisme yang memudahkan perdagangan intra-ASEAN.
“Dengan menyesuaikannya berdasarkan kekuatan unik setiap negara anggota, kita boleh menangani pertumbuhan ekonomi yang tidak sekata. Memperluas kerjasama dengan rakan luar juga dapat membantu kita menghadapi kejutan ekonomi luaran yang mendatang.
“Kita mesti bertindak secara bersama terhadap sebarang gangguan perdagangan global. Dengan perpaduan dan autonomi strategik sebagai satu komuniti ASEAN.
“Usaha kolektif ini akan membolehkan ASEAN mengharungi cabaran, meminimumkan impak kepada rakyat, dan terus berkembang dengan berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN










