ISLAMABAD: Pihak berkuasa penerbangan Pakistan dan India mengumumkan lanjutan sekatan ruang udara terhadap syarikat penerbangan masing-masing susulan insiden keganasan terburuk antara dua negara kuasa nuklear itu dalam beberapa dekad.
Langkah ini diambil sebulan selepas serangan maut pada 22 April ke atas pelancong India di Kashmir yang mencetuskan konflik ketenteraan selama empat hari antara kedua-dua negara.
Lebih 70 orang terbunuh akibat serangan peluru berpandu, dron dan artileri sebelum gencatan senjata diumumkan pada 10 Mei lalu.
Pakistan menutup ruang udaranya kepada pesawat India bermula 24 April, diikuti tindakan balas oleh India beberapa hari kemudian yang berakhir semalam.
Namun dalam satu kenyataan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan berkata, tiada penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat atau operator India dibenarkan menggunakan ruang udara Pakistan sambil menambah sekatan itu dilanjutkan sehingga awal pagi 24 Jun.
“Larangan ini juga terpakai kepada pesawat tentera India,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Penerbangan Awam India turut mengeluarkan notis serupa, memaklumkan sekatan terhadap penerbangan melibatkan Pakistan akan dilanjutkan selama sebulan lagi sehingga 23 Jun.
Wilayah majoriti Islam Kashmir yang dituntut sepenuhnya oleh kedua-dua negara sejak merdeka dari Britain pada 1947 menjadi punca utama ketegangan dan beberapa siri peperangan.
Keputusan Pakistan untuk menutup ruang udaranya kepada penerbangan dari India menyebabkan laluan ke Asia Tengah, Eropah dan Amerika Utara menjadi lebih panjang iaitu sehingga dua jam tambahan dan berpotensi meningkatkan kos operasi syarikat penerbangan.
Data kerajaan India menunjukkan, syarikat penerbangannya menanggung kerugian hampir 5.5 bilion rupee (RM273 juta) dalam tempoh hampir lima bulan pada 2019 ketika Pakistan menutup ruang udaranya ekoran ketegangan di Kashmir. -AFP










