PETALING JAYA: Waris kepada mana-mana kes jenayah yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) tidak perlu membuat laporan baharu bagi meneruskan siasatan, selagi tiada petunjuk baharu yang boleh membantu pihak berkuasa.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, persepsi orang awam bahawa sesuatu kes itu dihentikan terus apabila diklasifikasikan sebagai NFA adalah tidak tepat.
“Siasatan tidak akan ditutup. Klasifikasi seperti NFA bukan bermaksud kes ditutup sepenuhnya. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa buat masa ini tiada elemen mencukupi untuk tindakan lanjut.
“Namun apabila terdapat bukti baharu seperti laporan perubatan atau teknologi baharu yang boleh membuka semula siasatan, kertas siasatan itu akan dibawa semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, terdapat beberapa kategori klasifikasi dalam kes mahkamah termasuk tiada kesalahan dikesan (NOD), rujuk ke majistret (RTM), rujuk laporan lain (ROR) dan rujuk agensi lain (ROA).
Kamal berkata, setiap hasil siasatan akan dirujuk terlebih dahulu kepada bahagian undang-undang dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum sebarang keputusan diambil.
“Polis hanya menjalankan siasatan dan menyediakan kertas siasatan. Kuasa untuk mendakwa atau tidak terletak pada TPR. Proses timbang tara dilakukan secara teliti oleh pihak lebih arif dalam bidang perundangan,” katanya.
Menurut beliau, banyak kes berprofil tinggi yang turut melibatkan tokoh-tokoh terkenal negara telah dibawa ke mahkamah, menolak dakwaan kononnya polis sengaja mencari alasan untuk menutup kes.
“Jika ada individu yang tidak berpuas hati, mereka boleh merujuk kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) atau terus bertanya kepada pihak polis.
“Kita ada sistem semak dan imbang. Persepsi negatif itu wujud kerana orang awam kurang faham berkenaan proses siasatan dan kuasa sebenar yang dimiliki pihak pendakwaan,” jelasnya.
Mengambil contoh kes Teoh Beng Hock, beliau berkata, kes tersebut telah melalui pelbagai proses siasatan dan mahkamah, namun jika terdapat teknologi moden yang mampu memberikan petunjuk baharu, maka siasatan boleh dibuka semula.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock, kira-kira 15 tahun lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Sementara itu, Pensyarah Kanan Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mukhriz Mat Rus berkata, klasifikasi NFA juga tidak bersifat kekal dan boleh ditarik balik sekiranya muncul bukti baharu yang boleh mengaitkan semula suspek kepada kesalahan disyaki.
“Jika terdapat saksi baharu tampil atau penemuan forensik diperoleh, pendakwaan boleh menilai semula bukti berkenaan dan membawa kes tersebut ke mahkamah,” katanya.-UTUSAN.










