PETALING JAYA: Peralatan berteknologi tinggi seperti dron, jammer frekuensi dan skop anti penembak tepat digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau lokasi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 daripada sebarang ancaman keselamatan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, pemantauan keselamatan oleh Cawangan Khas turut menggunakan Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan teknikal.
Beliau berkata, PDRM menempatkan hampir 6,200 anggota bagi mengawasi aspek keselamatan sepanjang persidangan dan penambahan bergantung kepada keadaan.
“Jumlah kekuatan yang digunakan bagi penganjuran kali ini adalah berbeza dengan sebelum ini dengan mengambil cabaran-cabaran semasa dan ancaman teknologi terkini.
“Jika dahulu kemungkinan ancaman-ancaman semasa Sidang Kemuncak ASEAN tidak terlalu banyak berbanding pada masa ini.
“Kini terdapat peralatan berteknologi tinggi seperti dron yang boleh menjadi ancaman selain lokasi penganjuran yang ada banyak akses yang memerlukan kawalan ketat” katanya semalam.
Beliau menegaskan, kawalan keselamatan di beberapa kawasan termasuk lokasi persidangan, lawatan dan hotel penginapan orang kenamaan (VIP) dan delegasi antarabangsa yang terlibat turut dipertingkatkan.
Jelas beliau, pemantauan sama turut dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sepanjang laluan tiba dan berlepas.-UTUSAN.











