Bekalan makanan di Gaza hanya tinggal lima peratus - Utusan Malaysia

Bekalan makanan di Gaza hanya tinggal lima peratus

WALID ABU ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selain terkorban akibat bedilan tentera Israel, semakin ramai penduduk Gaza menemui ajal akibat kebuluran dengan bekalan makanan di wilayah itu hanya tinggal lima peratus.

Situasi dijangka menjadi lebih buruk sekiranya bantuan kemanusiaan tidak diedarkan segera kepada penduduk yang amat memerlukan.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, penduduk Gaza terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak paling terjejas akibat kekurangan bekalan makanan selepas Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan sejak 7 Oktober 2023.

“Sebanyak 85 peratus kawasan di seluruh Gaza sudah hancur. Semua sistem musnah akibat serangan bertubi-tubi tentera Israel sejak perang bermula Oktober 2023.

“Sektor pendidikan, kesihatan dan semua infrastruktur termasuk sistem air, sistem kumbahan musnah dibedil tentera Israel. Penduduk Palestin di Gaza ketika ini langsung tidak mempunyai bekalan asas akibat pembunuhan beramai-ramai yang berlaku.

“Lebih teruk, Israel memaksa penduduk Gaza berpindah dari utara ke selatan wilayah itu, menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal.

“Jika ada keluarga yang berjaya memperoleh khemah untuk melindungi keluarga mereka, ia mungkin tidak bertahan lama apabila tentera Israel melancarkan serangan bila-bila masa dan menghancurkannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan 90 trak bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza selepas 11 minggu terkandas di sempadan Israel-Gaza.

Namun, bantuan itu disifatkan tidak mencukupi susulan Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 500 trak bantuan untuk memenuhi keperluan semua penduduknya.

Dalam pada itu, Walid berkata, tiada seinci pun kawasan di Gaza adalah zon selamat ketika ini.

Katanya, Israel terus menyasarkan semua kawasan dengan serangan demi serangan.

“Tiada arah lagi untuk dituju. Semua kawasan dikepung dan bila-bila masa boleh menjadi sasaran tentera Israel,” katanya.

Walid berkata, pendudukan Israel di semua wilayah di Palestin perlu ditamatkan segera bagi membolehkan pembangunan semula dilakukan secara menyeluruh.

Beliau berkata, sekiranya Israel berundur daripada semua wilayah Palestin, penduduk negara itu boleh mengadakan pilihan raya untuk memilih siapa yang akan mentadbir kerajaan.

Katanya, rakyat Palestin yang merdeka boleh mengadakan pilihan raya sewajarnya bagi memilih pemimpin, kerajaan dan Parlimen yang mereka ingini dengan semuanya boleh dilakukan jika Israel keluar dari Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×