PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-42 yang sedang berlangsung menjadi bukti nyata rakyat Malaysia masih amat berminat membeli dan membaca buku.
Namun begitu, rata-rata pengunjung merupakan kelompok yang memang berminat membaca dan mencintai bahan bacaan. Bagaimana pula dengan golongan yang kurang membaca atas pelbagai sebab dan alasan?
Perlu diakui, dalam kesibukan harian yang penuh dengan tuntutan kerja dan tanggungjawab keluarga, ramai orang dewasa sukar meluangkan masa membaca buku cerita.
Namun, membaca bukan sekadar aktiviti masa lapang. Sebaliknya, perlu diakui sebagai keperluan penting untuk perkembangan diri dan kesejahteraan mental.
Membaca dapat menjadi terapi yang berkesan bagi mengurangkan tekanan. Menurut kajian di Universiti Sussex pada 2009, membaca selama enam minit sahaja sudah mampu membantu menurunkan kadar stres sehingga 68 peratus.
Sebagai perbandingan, mendengar muzik dapat mengurangkan stres sebanyak 61 peratus, minum teh atau kopi (54 peratus) dan berjalan-jalan (42 peratus).
Dengan membaca, kita dapat melarikan diri seketika daripada realiti yang menekan dan penuh cabaran. Kita berpeluang memasuki dunia fiksyen yang menenangkan fikiran. Kemudian, keluar dari dunia fiksyen dengan fikiran yang tenang dan minda yang segar.
Aktiviti membaca merangsang otak, membantu memperkuat daya ingatan dan melambatkan penurunan kognitif yang berkaitan dengan usia. Kajian menunjukkan membaca secara rutin dapat mengurangkan risiko demensia dan penyakit Alzheimer.
Antara hasil kajian yang saya baca ialah di jurnal Neurology (Ogos 2021), mengesahkan aktiviti membaca buku dan menulis surat boleh melambatkan kesan Alzheimer bagi individu berumur lebih 80 tahun.
Hasil kajian saintifik yang disiarkan di Proceedings of the National Academy of Sciences (Ogos 2022) menunjukkan, aktiviti menonton televisyen secara berlebihan menambah risiko demensia, sementara individu yang banyak menggunakan komputer atau membaca pula kurang berisiko.
Rata-rata jurnal dan buku kajian mengesahkan amalan membaca dan menulis merupakan semacam senaman mental yang penting bagi orang dewasa dalam melawan demensia dan Alzheimer.
Melalui amalan membaca, kita dapat memperoleh pengetahuan baharu dan memahami sesuatu isu dari pelbagai perspektif. Buku membuka jendela kepada budaya, sejarah dan idea-idea yang mungkin tidak dapat diakses melalui pengalaman harian.
Maka, amalan membaca membantu dalam membentuk pandangan yang lebih luas dan pemikiran kritis. Berbeza dengan media sosial yang sering dikaitkan dengan kandungan toksik dan negatif.
Membaca cerita fiksyen pula membolehkan kita memahami perasaan dan motivasi watak dalam cerita. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan simpati dan empati dalam kehidupan seharian.
Fiksyen seperti cerpen dan novel juga sarat dengan unsur emosi dan realiti yang sekali gus membantu kita lebih prihatin terhadap hal-hal di sekeliling. Semua ini penting dalam membantu kita membina hubungan sosial yang sihat, selain memahami orang lain dengan lebih baik.
Membaca secara konsisten juga memperkaya perbendaharaan kata dan memperbaiki struktur ayat. Langkah ini membantu dalam meningkatkan kemahiran menulis dan bercakap.
Kita sering mengaitkan kemahiran menulis dengan zaman persekolahan dan pengajian di universiti. Akan tetapi, sebenarnya kemahiran itu tetap penting dalam kehidupan profesional dan sosial.
Dalam dunia pekerjaan, kita masih perlu menulis atau berkomunikasi secara bertulis, termasuk menerusi e-mel dan WhatsApp. Dalam hidup seharian, kita masih perlu mampu menulis dengan berkesan apabila berkongsi pandangan di media sosial.
Ternyata membaca merupakan amalan yang perlu diteruskan sepanjang hayat. Namun begitu, seperti yang saya sebut di bahagian awal rencana ini, wujud pelbagai kekangan yang menyebabkan ramai orang dewasa kurang membaca. Bak kata pepatah, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ dan ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.
PUPUK MINAT MEMBACA
Berdasarkan perbualan dan perkongsian dengan rakan-rakan, ada beberapa cara mudah yang boleh dicadangkan bagi mengatasi masalah dihadapi.
Pertama, jadikan membaca sebagai rutin harian yang wajib dipatuhi. Kita perlu meluangkan masa khusus setiap hari, walaupun hanya 15 minit. Pilihlah masa yang paling sesuai mengikut keselesaan, misalnya sebelum tidur.
Disiplinkan diri supaya wajib membaca sesuatu sama ada akhbar, majalah atau buku sekurang-kurangnya 15 minit sehari. Pastikan waktu membaca pada skrin komputer atau telefon bimbit tidak diambil kira.
Lama-kelamaan, amalan ini dapat membantu membentuk tabiat membaca. Apabila berjaya menerapkan amalan membaca sebagai sebahagian daripada rutin harian, maka lebih mudah untuk menjadikannya budaya sepanjang hayat.
Kedua, bawalah buku ke mana-mana dan baca apabila ada peluang. Misalnya semasa menunggu bas, menunggu pakaian dibasuh di dobi layan diri, sewaktu menggunakan pengangkutan awam atau menunggu giliran di kaunter.
Lebih baik jika kita sentiasa membawa buku cerita untuk dibaca. Jika tidak, masih boleh membaca di telefon pintar. Namun begitu, perlulah mendisiplinkan diri supaya tidak terlanjur bermain Candy Crush atau menonton video TikTok pula.
Ketiga, menggantikan masa skrin dengan membaca. Maknanya, mengurangkan masa menggunakan komputer, telefon bimbit dan menonton televisyen.
Sebagai ganti, cuba membaca akhbar, majalah, jurnal atau buku kerana aktiviti ini terbukti mampu meningkatkan produktiviti dan kesihatan mental. Amalan membaca sebelum tidur juga membantu kita memperoleh tidur yang lebih nyenyak.
Keempat, jika mahukan motivasi dan sokongan dari luar, maka bolehlah menyertai kelab buku atau komuniti membaca. Apabila berada dalam kelompok yang memiliki minat sama, pasti memberikan motivasi tambahan serta menjadikan membaca sebagai aktiviti sosial yang lebih menyeronokkan.
Perbincangan mengenai buku yang dibaca juga membantu memperdalam pemahaman dan penghayatan terhadap bahan bacaan. Pada masa sama, kita akan mula sedar kebenaran kata-kata ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.
Amalan membaca adalah pelaburan dalam diri sendiri yang memberikan manfaat jangka panjang. Membaca bukan sahaja memperkaya minda malah membantu memperkaya kehidupan.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










