TEL AVIV: Israel bersedia melancarkan serangan terhadap Iran sekiranya rundingan nuklear antara negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) gagal mencapai objektif yang dikehendaki.
Menurut sumber seperti yang dilaporkan The Times of Israel, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu ‘hanya tunggu’ masa untuk menyerang Iran jika rundingan itu gagal.
Pasukan perisikan Israel beranggapan rundingan nuklear itu berpotensi untuk gagal selepas Iran dan AS masih belum mencapai sebarang persetujuan.
Agensi berita itu juga melaporkan, sumber berkenaan mengesahkan laporan CNN sebelum ini mengenai rancangan Israel untuk menyerang kemudahan nuklear Iran.
“Jika serangan dilancarkan, ia tidak akan berlaku sekali sahaja, malah boleh berlangsung mungkin seminggu.
“Kami banyak melakukan latihan (untuk serangan) dan ketenteraan AS juga memahami persiapan kami,” menurut sumber berkenaan.
Sumber dari AS pula menyatakan Washington memandang berat ancaman itu, lebih-lebih lagi tanpa persetujuan daripada Presiden Donald Trump.
Beberapa negara lain pula berpandangan, serangan itu hanya akan mendedahkan radiasi radioaktif yang tinggi dan berbahaya.
AS sebelum ini mendesak Iran supaya menghentikan pengayaan uranium, manakala Teheran pula menyatakan mereka tidak akan berhenti memandangkan sektor nuklear yang dibangunkan bertujuan menjaga keselamatan negara.
Washington dan Teheran sudah empat kali mengadakan rundingan berkaitan nuklear sejak 12 April lalu.
Kedua-dua negara melakukan satu lagi rundingan di Rom semalam dengan Oman menjadi pengantara.
Rundingan itu bertujuan mencapai persetujuan bagi mengehadkan pengayaan uranium Iran dan sebagai balasan, sekatan terhadap negara itu akan ditarik balik.










