Wanita Perancis bertutur loghat Inggeris selepas pembedahan tonsil

Wanita Perancis bertutur loghat Inggeris selepas pembedahan tonsil

CARA percakapan Laetitia berubah selepas dia menjalani pembedahan membuang tonsil. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTVAL-SUR-LOIR: Seorang wanita dari barat Perancis mengejutkan ramai apabila dia bercakap dengan loghat Inggeris yang ketara sejak menjalani pembedahan membuang tonsil 14 tahun lalu meskipun dia tidak fasih berbahasa Inggeris.

Laetitia, 47, seorang juruwang dari Montval-sur-Loir di wilayah Sarthe, hanya menguasai beberapa perkataan asas bahasa Inggeris yang dipelajari di sekolah puluhan tahun lalu.

Namun, apabila dia bercakap dalam bahasa ibundanya, Perancis ramai menyangka dia berasal dari England kerana loghat Inggerisnya yang pekat.

Segalanya bermula selepas dia menjalani pembedahan membuang tonsil.

Menurut Laetitia, anak-anaknya juga pernah menjalani prosedur yang sama dan hanya mengalami suara sengau sementara. Namun, berbeza dengan dirinya, loghat pelik itu tidak hilang walaupun setelah berminggu-minggu.

“Apabila saya sedar daripada pembedahan, suara saya terus berubah. Saya ada berjumpa pakar bedah selepas itu, tapi dia tidak menyatakan sebarang masalah serius.

“Tiga minggu kemudian, semasa pemeriksaan susulan, doktor berkata semuanya baik-baik sahaja. Saya tanya bila suara saya akan kembali seperti biasa dan dia hanya kata, ‘awak perlu bersabar’, kata Laetitia.

Namun, selepas tiga bulan Laetitia kembali ke klinik dan anehnya, doktor sendiri tidak menyedari perubahan pada awalnya. Malah, doktor turut bertanya sama ada wanita itu orang Inggeris kerana loghat Laetitia sangat meyakinkan.

Sejak itu, Laetitia berjumpa pelbagai doktor termasuk pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), namun tiada siapa mampu menjelaskan mengapa dia memperoleh loghat itu atau bagaimana untuk mengembalikan suara asalnya.

Akhirnya, dia disahkan mengalami Sindrom Loghat Asing iaitu satu keadaan yang amat jarang berlaku dan boleh berpunca daripada kemalangan, strok atau pembedahan.

Rekod perubatannya menunjukkan semasa pembedahan tonsil, bahagian tertentu dalam otaknya mungkin kurang mendapat bekalan darah yang berkemungkinan menyebabkan perubahan loghat tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×