Israel didakwa rancang curi bantuan kemanusiaan Gaza - Utusan Malaysia

Israel didakwa rancang curi bantuan kemanusiaan Gaza

KANAK-kanak Palestin cuba menarik bungkusan bantuan kemanusiaan daripada sebuah trak ketika melalui Rafah di selatan Gaza dari persimpangan Kerem Shalom, pada 18 Februari lepas. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Kesukuan di Gaza mengeluarkan amaran mengenai rancangan Israel yang didakwa menggunakan kumpulan penjenayah tempatan untuk mencuri bantuan kemanusiaan yang mula dibenarkan masuk ke wilayah itu.

Dalam kenyataan rasmi, jawatankuasa tersebut menyatakan rejim Zionis menghalang sebarang usaha perlindungan terhadap bantuan yang sepatutnya disalurkan ke Gaza bagi melaksanakan ‘rancangan jahat’ termasuk menyemai kekacauan dan kecurian melalui kumpulan jenayah yang beroperasi secara langsung di bawah kawalannya.

Menurut kenyataan itu, strategi tersebut adalah sebahagian daripada usaha sistematik Israel untuk merampas bantuan kemanusiaan demi mendorong kebuluran dan pemindahan paksa penduduk Gaza.

Jawatankuasa itu turut mengecam keras keengganan Israel untuk memastikan keselamatan bantuan yang masuk melalui lintasan Kerem Shalom sekali gus membiarkannya terdedah kepada kumpulan pencuri.

Ia turut menegaskan tentera Israel memainkan peranan sebenar dalam mengurus dan mencetuskan kekacauan di Gaza dengan menggunakan rangkaian kotor terdiri daripada tali barut dan pencuri yang mengkhianati tanah air serta nilai-nilai kesukuan mereka.

Jawatankuasa tersebut mengumumkan penarikan balik perlindungan nasional dan kesukuan terhadap individu-individu terlibat serta menyifatkan mereka sebagai ‘alat penjajahan’ dalam melaksanakan projek jenayah Israel.

Sebelum Israel menutup lintasan bantuan pada 2 Mac lalu, trak-trak bantuan yang masuk ke Gaza berulang kali menjadi sasaran rompakan oleh kumpulan penjenayah yang didakwa beroperasi di bawah perlindungan tentera Israel bagi mencetuskan kekacauan.

Sepanjang perang meletus, tentera Israel didakwa sengaja menyasarkan petugas keselamatan bantuan kemanusiaan di Gaza bertujuan memudahkan kecurian bantuan melalui kumpulan penjenayah tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×