Bertindak segera lindungi spesies terancam negara

Bertindak segera lindungi spesies terancam negara

TINDAKAN segera perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memastikan hidupan liar di negara ini tidak pupus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSEMPENA dengan Hari Spesies Terancam, yang disambut setiap tahun pada Jumaat ketiga bulan Mei, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama mempromosikan kesedaran dan mengambil langkah konkrit untuk melindungi spesies terancam Malaysia.

Antara haiwan Malaysia yang terancam ialah Harimau Malaya, dengan kurang daripada 150 ekor lagi yang masih ada, tapir Malaya, orang utan Borneo, dengan kira-kira 104,700 ekor, gajah Asia, dengan anggaran 2,351 hingga 3,066 di hutan, dan gajah Borneo, dengan kurang daripada 1,000 ekor di Sabah. Cencurut Hitam (black shrew) juga sangat terancam dengan hanya satu spesimen pernah dikumpulkan di Gunung Kinabalu. Data itu membimbangkan kerana haiwan berkenaan mungkin sudah pupus.

Sejak 2020, sekurang-kurangnya 2,361 haiwan dilaporkan mati akibat dilanggar kenderaan di seluruh negara, termasuk spesies terancam seperti harimau, harimau kumbang, tapir dan gajah. Jumlah ini dijangka akan meningkat melainkan tindakan segera diambil.

Justeru, hentikan pemecahan atau fragmentasi hutan atas nama pembangunan yang mengganggu habitat dan kepelbagaian biologi termasuk membawa kepada kematian di jalan raya, konflik hidupan liar dan manusia.

Kami menggesa kerajaan untuk meluaskan lagi kawasan perlindungan seperti taman negara dan hutan simpan, memulihkan habitat yang terosot melalui penghutanan semula dan segera menyambung semula ekosistem yang ‘dipecah-pecahkan’ seperti jejambat, terowong serta jambatan hidupan liar. Ini penting bagi membolehkan laluan hidupan liar yang selamat merentasi jalan dan ladang. Hutan simpanan kekal sedia ada juga tidak boleh dinyahwartakan. Sementara semua koridor ekologi yang tidak diwartakan dan kawasan sensitif alam sekitar mestilah diwartakan dengan segera.

Penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 adalah penting. Ini perlu disokong oleh peningkatan pembiayaan dan kakitangan bagi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Jabatan Hidupan Liar Sabah, serta unit penguatkuasaan hidupan liar. Alat teknologi seperti perangkap kamera, dron dan kolar penentu kedudukan global (GPS) perlu digunakan bagi pemantauan serta aktiviti antipemburuan haram. Usaha ini mestilah disokong oleh hukuman lebih ketat dan pendakwaan pantas.

Pendidikan hidupan liar juga perlu dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah dan sekolah memandu untuk meningkatkan kesedaran mengenai risiko di jalan raya.

Pembaharuan dasar dan infrastruktur diperlukan segera. Perancangan guna tanah yang mampan mestilah mengutamakan koridor biodiversiti. Perlindungan biodiversiti perlu menjadi kunci dan tidak boleh dikorbankan semata-mata untuk keuntungan atau bagi memenuhi kepentingan ekonomi jangka pendek.

Dalam era kemerosotan alam sekitar, menjaga kepelbagaian biologi bukan sekadar kewajipan moral tetapi komponen penting untuk memastikan kesihatan dan kemampanan jangka panjang planet ini. Melindungi spesies terancam bukan sahaja kewajipan moral tetapi tanggungjawab negara. Tindakan segera serta berterusan diperlukan untuk memastikan generasi akan datang mewarisi negara yang kaya dengan biodiversiti dan keseimbangan ekologi. Jika tiada tindakan sekarang, maka hidupan liar Malaysia yang terancam akan memasuki pusaran kepupusan.-UTUSAN

 

MOHIDEEN ABDUL KADER & MEENAKSHI RAMAN
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) & Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×