HARI Keluarga Antarabangsa disambut pada 15 Mei setiap tahun dan tema sambutan tahun ini ialah ‘Dasar Berorientasikan Keluarga untuk Pembangunan Lestari: Menuju Sidang Kemuncak Dunia Kedua untuk Pembangunan Sosial 2025’.
Tema ini menekankan peranan penting keluarga dalam mencapai pembangunan sosial yang mampan dan memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat global.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kini dalam proses mengemas kini Dasar Keluarga Negara (DKN) yang baharu agar kekal relevan dan responsif terhadap perubahan ekonomi, demografi juga sosial. Ini bagi menyokong kesejahteraan keluarga serta menjayakan aspirasi Malaysia Madani yang inklusif dan progresif.
Dalam konteks pembangunan negara, salah satu inisiatif DKN iaitu Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) terus dijadikan sebagai salah satu Indikator Petunjuk Prestasi Keberhasilan (KPI) Nasional dalam rancangan pembangunan negara sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Bersempena Kepengerusian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, KPWKM melalui LPPKN dipilih untuk terlibat dalam projek Kerjasama untuk Memahami Keluarga ASEAN.
Usahasama dalam kalangan anggota ASEAN ini merupakan usaha kolektif dalam mengangkat martabat institusi keluarga sebagai unit asas utama masyarakat negara ASEAN.
Malaysia mengiktiraf peranan penting institusi keluarga sebagai tunjang kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara yang inklusif serta lestari.
KPWKM percaya keluarga ialah teras pembangunan masyarakat dan merupakan ejen perubahan yang penting dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Oleh itu, pendekatan berasaskan keluarga perlu terus diperkuat dan diberi keutamaan dalam semua aspek dasar mahupun pembangunan negara.-UTUSAN
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
Putrajaya









