SEOUL: Korea Selatan membangunkan sistem kecerdasan buatan (AI) yang secara automatik memantau, mengesan, melaporkan dan meminta kandungan eksploitasi seksual atas talian dipadamkan dalam tempoh hanya enam minit.
Kerajaan Metropolitan Seoul mengumumkan mengenai pembangunan sistem tersebut semalam, yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Tanpa sistem tersebut, keseluruhan proses dijangka mengambil masa hampir tiga jam, memandangkan pihak berkuasa perlu mencari secara manual video haram yang tersebar di platform media sosial dan laman sesawang haram, sebelum mengemukakan permohonan pemadaman kepada laman berkenaan.
Sejak 2023, kerajaan bandar bekerjasama dengan Institut Seoul untuk menggunakan AI bagi memantau kandungan eksploitasi seksual di laman media sosial, komuniti dalam talian dan web gelap.
Namun, alat AI yang baharu dibangunkan itu bukan sekadar memantau, ia juga mampu menjana laporan penemuan serta menyediakan draf e-mel untuk memohon agar pengendali laman web memadamkan kandungan berkenaan.
Sistem itu boleh mengubah e-mel tersebut dalam tujuh bahasa, termasuk bahasa Inggeris, Cina, Jepun, Russia dan Vietnam.
Selain itu, berikutan peningkatan jumlah kes di mana video eksploitasi seksual dimuat naik ke pelayan yang terletak di luar negara, kerajaan bandar menyatakan sistem baharu itu juga mampu memantau kandungan di luar negara.
Pusat sokongan kerajaan bandar untuk mangsa jenayah seks digital menyediakan bantuan ‘sehenti’, termasuk sokongan siasatan dan undang-undang, terapi psikologi dan bantuan perubatan.
Menurut data yang diberikan oleh kerajaan bandar Seoul, pusat tersebut menerima laporan daripada 3,650 individu antara 2022 hingga Mac 2025, dan membantu mengendalikan sebanyak 64,677 kes.
Kebanyakan mangsa terdiri daripada remaja dan individu dalam lingkungan usia 20-an.- AGENSI










