TEL AVIV: Kedudukan Israel di peringkat antarabangsa kini berada di tahap paling rendah dalam sejarah negara itu, menurut laporan akhbar terkemuka Israel, Yedioth Ahronoth, pada Selasa.
Akhbar tersebut memetik seorang pegawai kanan Kementerian Luar Negeri Israel yang memberi amaran bahawa negara itu sedang berdepan ‘tsunami’ sebenar yang hanya akan menjadi lebih buruk dan menggambarkan keadaan semasa sebagai yang paling teruk pernah dialami regim itu.
Amaran tersebut disampaikan dalam laporan terperinci mengenai beberapa tindakan antarabangsa yang diambil terhadap Israel susulan perang berterusan di Gaza.
Antara yang paling signifikan ialah keputusan United Kingdom (UK) untuk menggantung rundingan perjanjian perdagangan bebas masa depan dengan Israel, satu langkah yang menurut laporan itu berpotensi memberi kesan ekonomi yang serius.
Menurut laporan itu, selepas 592 hari konflik di Gaza, Israel sedang menyaksikan kemerosotan kedudukan antarabangsa yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Pada Isnin, tiga sekutu rapat Israel iaitu UK, Perancis dan Kanada telah mengugut untuk mengenakan sekatan jika perang diteruskan.
Kurang 24 jam kemudian, kerajaan UK mengumumkan pembatalan rundingan perdagangan bebas, memanggil duta Israel ke London, Tzipi Hotovely untuk diberi teguran rasmi serta mengenakan sekatan ke atas beberapa peneroka Israel.
Akhbar itu turut menyoroti perubahan pendirian Amerika Syarikat (AS) dengan menyatakan bahawa semakin ramai pegawai di Rumah Putih melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keengganan Israel menamatkan konflik.
“Pegawai Rumah Putih meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan Israel dan menyatakan bahawa hanya Israel yang tidak berusaha ke arah penyelesaian menyeluruh,” lapor Yedioth Ahronoth.
Pada Selasa, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan mengarahkan ahli kanan pasukan perundingan Israel di Doha untuk pulang dan meninggalkan hanya kakitangan teknikal di situ sekaligus mencerminkan pendiriannya untuk meneruskan perang di Gaza.










