PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bersetuju menamatkan kemelut antara Petronas dan Petros apabila memeterai deklarasi bersama demi kelangsungan industri minyak dan gas di negara ini.
Persetujuan itu sekali gus diharap dapat menamatkan kemelut yang berlanjutan lebih setahun di antara kedua-dua entiti tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua pihak telah memeterai deklarasi persefahaman ke arah memajukan Malaysia dan Sarawak melalui Petronas dan Petros.
Beliau berkata, persefahaman mengenai perkara ini telah lama disepakati setelah berunding dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini.
“Kami (Anwar dan Abang Johari) telah mendapat paramater jelas mengenai Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan Ordinan Pengedaran Gas (DGO).
“Keadaan terkini menunjukkan kita (kerajaan) menerima kenyataan bahawa Sarawak berkembang lebih matang dan mempunyai keupayaan termasuk mendirikan syarikat minyak negeri yang juga
mempunyai potensi besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Telekomunikasi dan Uiliti Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Datuk Ibrahim Baki.
Anwar berkata, peranan Petronas tidak akan tergugat dan masih meneruskan tanggungjawabnya seperti biasa.
Namun, katanya, peranan itu akan disesuaikan selepas mengambil kira perkembangan baharu dan kuasa yang diperuntukkan kepada Sarawak dan peranan yang dimainkan oleh Petros.
“Persefahaman yang dicapai ini penting bagi memastikan peranan Petronas diteruskan dan peranan Petros di Sarawak diiktiraf.
“Kedua-dua entiti itu akan berganding bahu bagi mengangkat martabat negara dalam industri minyak dan gas dan hiliran dan beberapa aktiviti dalam sektor negara,” katanya.
Kata Anwar lagi, beliau berharap persefahaman ini akan meletakkan kedudukan Sarawak sebagai hab permulaan bagi industri minyak dan gas di peringkat ASEAN.
Sementara itu, Abang Johari berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengambil maklum perkembangan industri minyak dan gas di mana Petronas dan Petros memainkan peranannya.
“Alhamdulillah kita dapat menyelesaikan masalah yang timbul dan hari ini ada pengiktirafan yang akan dibawa bersama dalam mengusahakan aktiviti minyak dan gas demi kepentingan negara dan mengikut lunas undang-undang Sarawak dan Persekutuan.
“Kita akan menghormati jadual undang undang negeri dan Malaysia dan akan terus meningkatkan kerjasama demi kepentingan negara dan Sarawak,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Kerajaan Nege-ri Sarawak menghantar surat tuntutan kepada anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) atas dakwaan melakukan pelanggaran atau ketidakpatuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Petronas kemudian menjawab bahawa syarikatnya mempunyai hak dan kuasa secara statutori untuk menjalankan sebarang aktiviti atau operasi berkaitan petroleum di Sarawak.
Menurut Petronas, hak dan kuasa itu termaktub di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang membolehkan anak syarikatnya, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) mengawal selia semua aktiviti berkaitan petroleum di Malaysia, termasuk di Sarawak. – UTUSAN










